SAUDARA PENGARANG,
SIASATAN kematian seringkali menjadi perhatian masyarakat. Rakyat meluahkan amarah kepada suspek di media sosial, memberikan komentar mahupun kritikan kepada pihak polis dan mahkamah, malah membuat tuduhan, tekaan serta menjatuhkan ‘hukuman’ lebih awal.
Antara kes inkues yang menjadi topik utama di dada media dan tular di laman sosial termasuklah kes kematian pegawai bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim pada 2018.
Pada tahun ini sahaja, terdapat beberapa siasatan kematian yang mendapat liputan luas seperti kes Baby Syifaa, Zayn Rayyan Abdul Matiin dan terkini, Nur Farah Kartini Abdullah.
Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Buraidah bin al-Husaib, Nabi SAW bersabda: “Hakim itu ada tiga (jenis), dua berada di neraka dan satu lagi di syurga. (Pertama) seorang yang tahu kebenaran dan ia memutuskan dengannya, maka ia di syurga; (kedua) seorang yang tahu kebenaran, namun ia tidak memutuskan dengannya, maka ia di neraka dan (ketiga) seorang yang tidak tahu kebenaran dan memutuskan untuk masyarakat dengan ketidaktahuan, maka ia di neraka.”
Hadith ini menggambarkan bahawa tugas seorang hakim/koroner sangat berat kerana berkait dengan hak manusia. Seseorang hakim mengambil masa yang cukup untuk memahami dan mendalami kes.
Terdapat beberapa prinsip penting dalam Islam yang perlu kita fahami. Pertama, Islam menekankan keadilan dalam semua aspek kehidupan, terutamanya dalam sistem perundangan. Keadilan ini harus diutamakan walaupun terdapat desakan daripada pihak tertentu untuk mempercepatkan proses pengadilan.
Kedua, dalam menghadapi isu yang penuh emosi dan ketiga, masyarakat perlu mengelakkan daripada menyebarkan berita palsu, kenyataan fitnah, spekulasi tidak berasas selain menyebarkan dokumen sulit.
Semasa prosiding inkues kematian dijalankan, koroner dikehendaki menilai keterangan bagi menjawab pelbagai persoalan bagi memutuskan sama ada wujud elemen jenayah.
Pada akhir prosiding, koroner dikehendaki menilai dan menganalisis segala bukti dan keterangan yang dikemukakan serta membuat keputusan berhubung punca kematian.
Jadi, orang ramai perlu memberi ruang dan masa serta kepercayaan kepada pihak berautoriti. Dalam masa sama perlu mengamalkan nilai kesabaran dan berintegriti dalam menunggu keputusan.
Jangan kerana terlalu ghairah menuntut keadilan sehingga mengambil tindakan undang-undang sendiri.-UTUSAN
DR. MOHD ISTAJIB MOKHTAR dan DZULFAIDHI HAKIMIE DZULRAIDI
Universiti Malaya










