Guru perlu arif guna kata-kata pujian terhadap pelajar

Guru perlu arif guna kata-kata pujian terhadap pelajar

KATA-KATA pujian yang tepat bukan sahaja dapat meningkatkan motivasi tetapi cenderung membentuk jati diri pelajar yang baik untuk masa depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

GURU memainkan peranan penting dalam membangunkan potensi pelajar melalui penggunaan kata-kata pujian yang tepat. Kata-kata pujian yang diberikan secara bijak tidak hanya meningkatkan keyakinan diri pelajar tetapi juga memberi kesan positif dalam pelbagai situasi.

Guru perlu mengenali usaha serta pencapaian pelajar dengan memberi pujian yang spesifik. Contohnya, “Syabas Aniq kerana rajin bertanya soalan yang mendalam dalam topik ini. Ia menunjukkan kesungguhan dan minat yang tinggi dalam pembelajaran.”

Di luar kelas, guru boleh memberi kata-kata pujian kepada pelajar yang mengambil inisiatif dalam aktiviti sekolah seperti pertandingan sukan atau projek seni. Misalnya, “Qaseh, usaha dan semangatmu dalam berlatih untuk kejohanan larian memberi inspirasi kepada rakan-rakan yang lain. Teruskan usaha yang baik.”

Semasa aktiviti kokurikulum, kata-kata pujian dari guru dapat memberi dorongan kepada pelajar untuk terus melibatkan diri secara aktif.

Bersama ibu bapa, guru juga perlu menggunakan kata-kata pujian untuk menyampaikan kemajuan dan pencapaian pelajar. Contoh, “Puan Yati, Xara menunjukkan peningkatan yang ketara dalam tatabahasa sejak minggu lalu. Usahanya patut dipuji dan diberi sokongan untuk terus maju.”

Kata-kata pujian yang diberikan dengan tepat bukan sahaja meningkatkan motivasi pelajar tetapi juga membantu dalam perkembangan keseluruhan. Mereka merasa dihargai dan termotivasi untuk mencapai matlamat akademik dan pembangunan peribadi.

Penggunaan kata-kata sokongan juga penting, terutamanya bagi pelajar yang menghadapi cabaran atau merasa kurang yakin dengan kemampuan mereka. Misalnya, “Asyraf, jangan putus asa. Setiap usaha yang dilakukan pasti akan membawa hasil. Teruskan usaha yang gigih.”

Untuk jangka pendek, cara ini memberi pelajar rasa teruja dan motivasi untuk terus berusaha. Mereka merasakan dihargai dan diiktiraf atas usaha yang dilakukan. Ini secara langsung meningkatkan prestasi mereka dalam bilik darjah dan di luar kelas.

Sementara untuk jangka panjang, kesan daripada langkah positif ini dapat meningkatkan keyakinan diri, semangat untuk belajar, pembangunan sikap positif terhadap pembelajaran dan seterusnya dalam kehidupan seharian.-UTUSAN

NOR AZIRAH A.R
SMK Dengkil, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×