SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memperluaskan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) hingga ke stesen KTMB Segamat, Johor pada awal Oktober tahun ini.
Walau bagaimanapun, bagi mereka yang tinggal di bandar-bandar berdekatan dengan bandar Segamat, mengakses stesen KTMB ini boleh menjadi satu cabaran. Ketiadaan perkhidmatan bas perantara yang efisien antara Stesen KTMB Segamat dengan bandar-bandar berdekatan seperti Muar, Tangkak, Pagoh dan Bukit Gambir menjadi penghalang masyarakat mendapat manfaat sepenuhnya kemudahan ETS ini.
Oleh itu, seiring dengan pelancaran perkhidmatan ETS ini, satu perkhidmatan bas perantara yang komprehensif perlu diwujudkan untuk menghubungkan Stesen KTMB Segamat dengan bandar-bandar berdekatan.
Menyambungkan titik-titik utama ini akan memudahkan urusan perjalanan masyarakat untuk tujuan pekerjaan, pendidikan ataupun perniagaan sekali gus dapat meningkatkan jumlah pengguna perkhidmatan kereta api dengan mendadak.
Selain itu, ia juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian. Masyarakat akan lebih cenderung untuk menggunakan bas dan kereta api, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara.
Seterusnya bas perantara ini dapat memperkasakan sektor pelancongan tempatan. Kemudahan pengangkutan awam yang efisien akan menarik lebih ramai pelancong untuk mengunjungi destinasi menarik di sekitar Segamat dan juga bandar-bandar yang ada khidmat bas perantara ini.
Bandar Segamat, Pagoh, Bukit Gambir dan Muar terkenal dengan produk pertanian, dusun buahan tempatan dan hutan simpanan yang tidak tercemar. Juga terdapat tapak-tapak warisan budaya dan sejarah yang boleh melonjakkan industri pelancongan Johor.
Ramai yang tidak gemar menggunakan perkhidmatan bas awam kerana banyak masa dibazirkan untuk menunggu kehadiran bas tersebut. Oleh itu langkah utama yang perlu dilaksanakan adalah meningkatkan kekerapan perkhidmatan bas perantara ini, dengan memberikan lebih banyak pilihan waktu perjalanan kepada pengguna.
Lebih baik lagi jika penyelarasan jadual waktu bas dengan jadual ketibaan dan keberangkatan ETS dapat dilaksanakan untuk memastikan kesinambungan perjalanan penumpang yang lancar. Ini akan memudahkan penumpang melakukan pertukaran mod pengangkutan antara bas perantara dan kereta api.
Penambahan hentian juga perlu dipertimbangkan di kawasan-kawasan yang strategik yang akan memudahkan akses kepada lebih ramai pengguna.
Juga perlu dilaksanakan adalah integrasi sistem tiket dan penyepaduan tambang antara bas perantara dan tiket KTMB. Menggabungkan sistem tiket bas dan kereta api akan memudahkan pembelian tiket dan perjalanan bagi pengguna. Ini adalah satu nilai tambah yang memberi insentif kepada pengguna untuk melanggan perkhidmatan KTMB secara berterusan.
Dengan adanya perkhidmatan ini, masyarakat akan dapat menikmati perjalanan yang lebih mudah, selesa lagi berpatutan. Kejayaan perkhidmatan ETS antara bandar di Segamat bergantung kepada kebolehcapaian.
Dengan mewujudkan rangkaian bas perantara, KTMB dapat memastikan bahawa semua pengguna di bandar-bandar yang tiada perkhidmatan ini berpeluang menikmati kemudahan dan kecekapan sistem pengangkutan awam moden berkenaan. Selain itu, ia juga akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial di bandar-bandar tersebut.-UTUSAN
MOHAMED ISMAIL PAKIR MOHAMED
Pensyarah Kanan Ketua Focus Group
Pengurusan Teknologi Pembuatan,
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










