SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, media melaporkan Malaysia berada di kedudukan tertinggi dalam kalangan 109 negara dalam penemuan mikroplastik dan lebih teruk lagi apabila ia menyatakan bahawa lebih 50 peratus daripada mikroplastik berpunca daripada makanan laut seperti ikan.
Bagi mengatasi dan mengelakkan isu ini daripada berterusan, kerajaan boleh mengambil beberapa langkah proaktif seperti mewujudkan dasar komprehensif yang merangkumi semua aspek pengurusan dan perlindungan marin, termasuk kawalan spesies invasif, pengurusan pencemaran dan pemuliharaan habitat penting seperti terumbu karang mahupun hutan bakau.
Perketatkan penguatkuasaan perundangan sedia ada dengan meningkatkan sumber dan keupayaan agensi penguatkuasa serta memastikan penalti yang dikenakan cukup berat untuk mencegah pelanggaran undang-undang. Selain itu, juga perlu melaksanakan program pemantauan dan penyelidikan berterusan untuk menilai keadaan ekosistem marin, mengenal pasti ancaman baharu dan menilai keberkesanan langkah-langkah yang diambil.
Tingkat kerjasama antara agensi kerajaan, institusi penyelidikan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting untuk memastikan pendekatan yang bersepadu serta efektif dalam pengurusan isu-isu marin.
Menggalakkan institusi pendidikan dan penyelidikan untuk memainkan peranan yang lebih aktif bukan hanya dalam mendidik generasi masa depan, menjalankan aktiviti-aktiviti penyelidikan tetapi juga menjadi suara profesional selain tidak berparti dalam isu-isu kelautan. Institusi ini perlu terlibat dalam penyebaran maklumat, advokasi dasar dan memberikan panduan berasaskan bukti hasil daripada kajian-kajian saintifik kepada penggubal dasar.
Sebuah kementerian khusus perlu ditubuhkan bagi memastikan semua aspek yang berkaitan perairan negara termasuk perikanan, pemuliharaan biodiversiti marin, pengurusan pencemaran dan keselamatan maritim diurus dengan lebih sistematik serta bersepadu.
Apa harga perairan Malaysia? Nilai ekologinya yang sangat berharga juga kesan langsung terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat tidak patut sama sekali diabaikan. Langkah-langkah tegas dan kerjasama yang efektif perlu diambil, sebelum terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk kesilapan kita hari ini.-UTUSAN
MOGESH SABABATHY
Aktivis Belia Alam Sekitar
Ahli Panel Konsultasi Perubahan Iklim,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES)
Pelajar Ijazah Kedoktoran, Universiti Putra Malaysia (UPM)










