SAUDARA PENGARANG,
DALAM era globalisasi dan teknologi maklumat ini, agamawan berdepan dengan pelbagai cabaran dalam menyampaikan ajaran agama yang relevan dan berkesan. Penguasaan ilmu falsafah, terutamanya pendekatan logik dan rasional serta sosiolinguistik dan wacana tekstual penting bagi agamawan untuk berinteraksi dengan masyarakat yang semakin kritis dan berbilang budaya.
Ulama-ulama terdahulu seperti Al-Ghazali dan Ibnu Rushd sering menekankan kepentingan objektiviti dalam kajian falsafah dan teologi. Mereka percaya bahawa pemikiran yang objektif adalah kunci untuk memahami kebenaran dan membezakan antara fakta dan pendapat. Objektiviti membantu agamawan dalam memberikan panduan yang lebih berasas dan adil kepada masyarakat, terutama dalam isu-isu yang melibatkan kepelbagaian pandangan dan kepercayaan.
Baru-baru ini, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) terlibat dalam kontroversi apabila menganjurkan lawatan ke kuil sebagai sebahagian daripada latihan interfaith untuk pegawai-pegawai agama. Inisiatif ini bertujuan untuk memupuk kefahaman antara agama dan mempromosikan keharmonian antara masyarakat pelbagai agama di Malaysia.
Namun, langkah ini menimbulkan pelbagai reaksi dengan sebahagian pihak menyokong usaha tersebut sebagai satu langkah positif ke arah toleransi beragama, manakala pihak lain melihatnya sebagai tindakan yang bertentangan dengan prinsip agama Islam.
Pendekatan sosiolinguistik dan logik sangat diperlukan dalam situasi ini untuk membantu agamawan mengemukakan hujah yang meyakinkan mengenai kepentingan dialog antara agama. Agamawan boleh menggunakan logik untuk menjelaskan manfaat jangka panjang dari inisiatif ini dan menggunakan sosiolinguistik dalam memahami reaksi masyarakat ketika menyesuaikan komunikasi mereka bagi mengurangkan salah faham.
Dalam menghadapi cabaran dan isu semasa, penguasaan ilmu falsafah dan linguistik adalah penting bagi agamawan. Sumber utama Islam, iaitu al-Quran dan Sunnah, serta pandangan ulama turath dan kontemporari harus menjadi prinsip utama dalam menangani semua isu.
Tambahan pula, penggunaan qalb (hati) dalam memahami ilmu yang benar (haq) melalui pendekatan tazkiyyah al-nafs (penyucian diri) adalah penting bagi agamawan dalam memastikan keikhlasan dan ketulusan dalam usaha memahami serta menyampaikan ajaran agama. Dengan menyucikan jiwa dan meningkatkan kesedaran spiritual, agamawan dapat lebih peka terhadap keperluan masyarakat dan memberi panduan yang lebih efektif dan relevan.
Untuk mengukuhkan peranan agamawan, latihan dan pendidikan dalam bidang falsafah dan sosiolinguistik perlu diberikan penekanan. Institusi agama disarankan untuk menyediakan program-program latihan yang menekankan kemahiran analisis kritikal dan pemahaman konteks sosial. Kolaborasi antara institusi agama dan budaya juga perlu dipertingkatkan untuk membangunkan modul pendidikan yang mengambil kira kepelbagaian budaya dan bahasa di Malaysia.
Dengan mengaplikasikan pendekatan-pendekatan ini, agamawan di Malaysia akan lebih berupaya untuk memimpin dan membimbing masyarakat ke arah yang lebih harmoni dan berdaya tahan. Pendekatan logik dan sosiolinguistik bukan sahaja akan memperkaya pemahaman agama tetapi juga mempromosikan dialog antara budaya dan agama, menjadikan Malaysia sebagai contoh keharmonian serta toleransi yang patut dicontohi.-UTUSAN
DR.NOR HANANI ISMAIL
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP),
Universiti Utara Malaysia (UUM).











