SAUDARA PENGARANG,
DALAM era globalisasi ini, ilmu pengetahuan dan teknologi memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan seharian. Oleh itu, wajar bagi pihak sekolah untuk memperkenalkan subjek asas biologi, fizik, kimia dan matematik tambahan kepada pelajar menengah rendah.
Dengan sukatan yang ringkas tetapi menarik, diharapkan dapat menarik lebih ramai pelajar melanjutkan pelajaran dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat menengah atas.
Pelaksanaan subjek asas ini perlu disusun dengan teliti agar ia mudah difahami oleh pelajar. Misalnya, konsep asas dalam biologi seperti sel, ekosistem dan genetika boleh diperkenalkan melalui aktiviti-aktiviti praktikal yang menyeronokkan. Penggunaan mikroskop, lawatan ke taman-taman botani dan eksperimen mudah di makmal dapat menambah minat pelajar terhadap subjek ini.
Begitu juga fizik, konsep seperti tenaga, cahaya dan bunyi boleh diajar melalui demonstrasi dan projek-projek mini yang menarik. Menggunakan peralatan mudah seperti prisma untuk menunjukkan pembiasan cahaya atau menggunakan permainan untuk menerangkan prinsip-prinsip asas fizik dapat membuatkan pelajar lebih memahami dan menikmati pembelajaran.
Dalam subjek kimia, eksperimen ringkas yang selamat dan menyeronokkan boleh diperkenalkan. Pelajar boleh diajar tentang reaksi kimia melalui eksperimen pembakaran atau pencampuran bahan-bahan yang menghasilkan perubahan warna. Aktiviti-aktiviti seperti ini bukan sahaja menarik minat pelajar, tetapi juga membantu mereka memahami konsep kimia dengan lebih baik.
Matematik tambahan pula boleh dijadikan lebih menarik dengan menggunakan pendekatan aplikasi dalam kehidupan seharian. Pelajar boleh diajar untuk menyelesaikan masalah matematik melalui permainan atau situasi sebenar seperti mengira jumlah kos dalam pembelian barang atau merancang perjalanan. Pendekatan ini dapat mengubah persepsi pelajar bahawa matematik adalah subjek yang sukar dan membosankan.
Selain itu, pengajaran subjek asas ini haruslah disertai dengan penggunaan teknologi moden dan internet.
Untuk memastikan keberkesanan subjek asas ini, guru perlu didedahkan dengan angka-teknik pengajaran yang kreatif dan inovatif serta penggunaan teknologi terkini. Dengan ini, guru-guru dapat mengajar dengan lebih berkesan dan menarik minat pelajar terhadap subjek-subjek tersebut.
Pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat juga penting dalam menjayakan usaha ini. Mereka boleh diberi penerangan tentang kepentingan subjek-subjek asas ini dan bagaimana boleh membantu anak-anak dalam pembelajaran. Komuniti setempat juga boleh membantu dengan menyediakan sumber atau sokongan bagi aktiviti-aktiviti pembelajaran.
Secara keseluruhannya, memperkenalkan subjek asas biologi, fizik, kimia dan matematik tambahan dengan sukatan yang ringkas tetapi menarik bagi pelajar menengah rendah adalah satu langkah yang wajar. Ia bukan sahaja dapat menambah minat pelajar terhadap bidang STEM, tetapi juga menyediakan mereka dengan asas yang kukuh untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.-UTUSAN
AZIZUL ASYRAF MD. HELMI
SMK Dato Sulaiman, Parit Sulong










