SAUDARA PENGARANG,
MUNGKIN ramai sebenarnya sudah sedar tetapi gagal mengawal keinginan untuk mengubah suai motosikal, lebih-lebih lagi jika ada ‘hasutan’ dalam kalangan rakan mahupun media seperti iklan, drama atau filem sehingga pengubahsuaian itu dilakukan secara berlebihan, sekali gus mengundang bahaya.
Sekiranya ada yang meminati pengubahsuaian kenderaan atau berhasrat menambah aksesori, ia tidak salah selagi tidak membahayakan diri sendiri atau merisikokan pengguna jalan raya yang lain.
Pemasangan lampu berwarna secara logiknya boleh menyakitkan mata orang di hadapan. Lampu LED biasa yang dibenarkan mengikut undang-undang adalah bertujuan untuk menjaga keselamatan pengguna. Jadi janganlah membahayakan pengguna jalan raya lain dengan lampu berwarna, lagi-lagi pada bahagian depan kenderaan.
Begitu juga dengan ekzos yang diubah suai boleh mengakibatkan gangguan bunyi kepada pengguna jalan raya. Penunggang motosikal yang mengubah ekzos perang selalunya memberi alasan supaya dengan adanya bunyi kuat, pemandu kereta akan dengar dan sedar keberadaan motosikal di sekitar mereka. Akan tetapi sekiranya terlalu bising, sudah pastinya menjadi sebuah kesalahan kerana mengganggu ketenteraman awam.
Kotak pengangkut barangan pada dasarnya dicipta untuk tambahan penyimpanan khas ketika mengembara. Pun begitu, pilihlah saiz yang bersesuaian kerana ia boleh terkena kenderaan lain. Selain itu, saiz kotak yang besar dan jenis besi mengakibatkan motosikal menjadi berat dan mengganggu pemanduan.
Sudah menjadi trend apabila ramai penunggang motosikal meletakkan kerusi kanak-kanak di bahagian depan. Aksesori ini sangat bahaya. Pada pandangan saya, kerusi ini boleh mengganggu pergerakan untuk mengendalikan motosikal. Ia akan memberi kesan buruk kepada kanak-kanak sekiranya berlaku kemalangan.
Oleh itu, pemilik motosikal perlu lebih cakna sekiranya mahu mengubah suai motosikal agar tidak membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain.-UTUSAN
BULBIR SINGH
Bekas Presiden Persatuan Pengguna
Negeri Sembilan










