SAUDARA PENGARANG,
DALAM memastikan graduan institusi menjadi pilihan majikan, terdapat beberapa institusi yang menyediakan pelan sokongan graduan. Inisiatif yang dibuat dengan memastikan graduan mempunyai persijilan kompetensi yang telah diambil semasa mengikuti pengajian.
Ia menunjukkan usaha dan tanggungjawab yang dibuat oleh institusi dalam mengekalkan daya saing pelajar untuk kekal relevan dalam menghadapi arus dan cabaran dunia kini yang volatility, uncertainty, complexity, ambiguity (VUCA).
Secara umumnya, persijilan kompetensi ini dapat memberikan kelebihan kepada graduan, disamping dapat meningkatkan pengetahuan, ia juga dapat memberikan nilai tambah dan pengiktirafan terhadap kepakaran yang ada pada seseorang individu, sekali gus nilai pasaran individu terbabit dapat ditingkatkan.
Majikan akan memilih individu yang mempunyai nilai tambah kepada organisasi sebagai pilihan utama, yang mana individu tersebut dapat membantu dalam memacu organisasi ke arah kecemerlangan. Elemen 3-V ini dapat membuktikan kejayaan institusi dalam kemenjadian graduan yang holistik. Malahan, dengan melengkapkan kebolehupayaan dan kepakaran bidang melalui persijilan kompetensi, ia dapat memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat.
Seiring dengan perkembangan ekonomi dunia dan negara, di samping daya saing yang kekal utuh, keperluan graduan untuk mempersiapkan diri dengan kekal lestari adalah amat penting.
Graduan perlu memastikan kelengkapan diri dalam konteks pengetahuan, kemahiran, profesionalisme adalah terbaik.
Ia sekali gus dapat memberikan impak kepada graduan hari ini untuk kekal menjadi pilihan majikan, sama ada majikan tempatan atau mampu melengkapi pasaran kerja antarabangsa. –UTUSAN
PROFESOR MADYA
DR. AHMAD MUBARAK TAJUL ARIFIN
Ketua Jabatan Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










