Pindaan RUU Akta Penagih Dadah ubah persepsi rakyat

Pindaan RUU Akta Penagih Dadah ubah persepsi rakyat

DENGAN pindaan RUU ini, konsep menghukum telah diubah kepada konsep merawat dan memulih dan bakal memberi kesan yang baik terutama kepada masyarakat yang mahu mendapatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan secara sukarela. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SYABAS dan tahniah kepada barisan kepimpinan AADK dan pasukan yang mengusahakan usul Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah yang dibaca buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 2 Julai 2024.

Pindaan RUU tersebut sangat signifikan dengan senario dan tuntutan semasa berkaitan proses rawatan dan pemulihan yang selama ini AADK dilihat sebagai suatu agensi yang sangat ‘menakutkan’ bagi keluarga dan ahli keluarga pesalah atau bahan untuk menghantar ahli keluarga mendapatkan rawatan berkaitan penagihan akibat penyalahgunaan dadah atau bahan.

Naratif masyarakat sebelum ini adalah AADK sebagai suatu institusi yang menghukum penagih, pesalahguna dadah dan bahan. Sungguhpun ada masyarakat yang faham peranan AADK antaranya dalam rawatan, pemulihan dan pendidikan pencegahan, namun masyarakat masih mempunyai persepsi bahawa menyerah diri secara sukarela kepada AADK bermakna menyerah diri untuk dihukum. Ini mengakibatkan ramai pesalahguna dadah yang tidak mendapatkan rawatan peringkat awal dan melarat hingga menjadi penagih dan menyumbang kepada masalah sosial negara.

Dengan pindaan RUU ini, konsep menghukum telah diubah kepada konsep merawat dan memulih (Fasal 22, penggantian seksyen 21 Akta 283). Pindaan RUU juga bakal memberi kesan yang baik terutama kepada masyarakat yang mahu mendapatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan secara sukarela (Fasal 12, pindaan dan penggantian seksyen 8). Fasal 13, pindaan Seksyen 9 Akta 283 dilihat sebagai salah satu mekanisme memperkasa fungsi keibubapaan dan memberi peluang kepada ibu atau bapa atau penjaga untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam proses rawatan dan pemulihan pesalah dalam kalangan kanak-kanak.

Hukuman denda tidak melebihi RM5,000 bagi ibu atau bapa atau penjaga yang gagal melaksanakan tanggungjawab dalam proses rawatan dan pemulihan, diharap dapat memberi pendidikan kepada ibu bapa yang lain untuk lebih cakna terhadap perkembangan dan tingkah laku anak-anak supaya tidak bereksperimen atau tidak sekalikali mencuba dadah atau apa-apa bahan termasuk vape. Ibu bapa akan lebih berhatihati akan perubahan tingkah laku atau emosi secara mendadak.

Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak AADK atas pindaan Akta 283 dengan memasukkan Jadual Ketiga Akta Racun 1952 [Akta 366] dan Fasal 28. Dengan memasukkan jadual ini ke dalam RUU bermakna keresahan kami ahli akademik mengenai masalah penagihan dan penyalahgunaan bahan psikotropik terutama yang melibatkan unsur psilocybe cubencis atau cendawan psilosibin atau nama popularnya magic mushroom; dadah kanabis (ganja) dan tembakau telah diambil berat oleh pihak kerajaan.

Ini bermakna, AADK mempunyai skop rawatan dan pemulihan yang lebih luas tidak terhad hanya kepada dadah atau bahan yang sedia ada yang hanya boleh dikesan dengan ujian air kencing. Pindaan RUU ini menunjukkan usaha berterusan AADK membanteras masalah penagihan dan penyalahgunaan dadah atau bahan dalam kalangan masyarakat dengan pendekatan yang lebih holistik dan rahmah melibatkan peranan semua pemegang taruh termasuk mengembalikan peranan institusi keluarga dan masyarakat.

Jika semua masyarakat memahami fungsi dan kesan RUU ini, dan ia dapat dilaksanakan dengan baik, saya yakin statistik isu sosial terkait dengan penyalahgunaan dadah atau bahan dapat dikurangkan dengan nilai yang signifikan. – UTUSAN

PROF. MADYA DR. HANINA
HALIMATUSAADIAH HAMSAN
Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi)
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN