SAUDARA PENGARANG,
SEMBILAN pemohon yang diketuai oleh Zakaria Ismail dan enam lagi nelayan bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Pertubuhan Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI) kecewa dengan keputusan penolakan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar kebenaran merancang yang diberikan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri berhubung Projek Reklamasi Pulau Pinang Selatan (PSR).
Mahkamah Tinggi menolak permohonan dengan menyatakan antara lain, bahawa permohonan difailkan di luar masa dan responden telah mematuhi Akta Perancangan Bandar dan Desa 197 (APBD 1976) dan oleh itu tidak wujud penyalahan undang-undang, ketidakrasionalan atau tidak munasabah dalam proses membuat keputusan dalam memberikan kebenaran merancang.
Mahkamah Tinggi juga bersetuju dengan hujahan bahawa tidak ada keperluan untuk menyemak dan mengubah Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 mengenai pengecilan saiz Projek PSR memandangkan Pulau B dan C hanya ditangguhkan dan tidak dibatalkan. Bagaimanapun, ia didedahkan semasa bertukar-tukar afidavit dalam prosiding ini bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebenarnya hanya ‘menangguhkan’ Pulau B dan C sementara dan tidak mengehadkan Projek PSR hanya di Pulau A.
Sementara menyatakan rasa hormat terhadap keputusan mahkamah, pemohon yang kebanyakannya adalah golongan nelayan yang terjejas oleh Projek PSR berasa kecewa kerana rayuan dan aduan mereka tidak diendahkan dan hak mereka diabaikan.
Menurut Laporan EIA, projek PSR akan menyebabkan kehilangan kekal yang tidak dapat dipulihkan kepada ekosistem. Kehidupan dan mata pencarian nelayan pantai di bahagian selatan Pulau Pinang juga akan turut terjejas. Pemohon akan memfailkan rayuan terhadap keputusan ini dalam masa terdekat. – UTUSAN
MAGESWARI SANGARALINGAM
Setiausaha Kehormat Sahabat Alam Malaysia (SAM)
KHOO SALMA NASUTION
Presiden Pertubuhan Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI)










