SAUDARA PENGARANG,
GERAKAN boikot terhadap Israel menjadi salah satu bentuk perjuangan yang semakin mendapat perhatian global dalam usaha membela hak-hak rakyat Palestin.
Walaupun terdapat pelbagai pandangan mengenai keberkesanan dan implikasi boikot ini, ia tetap dilihat sebagai satu instrumen penting dalam menekan Israel untuk mengubah dasar-dasarnya terhadap Palestin.
Membangkitkan isu kerugian ekonomi sebagai hujah menentang gerakan boikot adalah tidak wajar dan tidak adil.
Gerakan seperti mempromosi makanan sihat atau menggalakkan pelaburan beretika jarang dikritik sebagai beban ekonomi, walaupun kedua-duanya boleh mempengaruhi corak perbelanjaan dan pelaburan.
Kajian oleh Omar Barghouti dalam bukunya Boycott, Divestment, Sanctions (BDS): The Global Struggle for Palestinian Rights (2011) menunjukkan bahawa gerakan BDS berjaya memberi tekanan ekonomi kepada syarikat-syarikat yang beroperasi di wilayah pendudukan Israel, mendorong beberapa syarikat besar untuk menarik diri daripada projek-projek di sana.
Dengan menggunakan kuasa beli secara strategik, pengguna boleh menyuarakan bantahan terhadap syarikat-syarikat yang terbabit dalam pelanggaran hak asasi manusia di Palestin, sekali gus mencipta tekanan ekonomi yang berpotensi mendorong perubahan dasar korporat dan politik.
Fenomena ini dikenali sebagai aktivisme pengguna muncul sebagai alat yang berkesan dalam memperjuangkan keadilan sosial dan hak asasi manusia di peringkat global.
Kajian oleh Michele Micheletti dan Dietlind Stolle dalam buku Political Consumerism: Global Responsibility in Action (2013) menunjukkan bahawa tindakan pengguna bermotif politik, termasuk boikot, boleh memberi tekanan yang signifikan kepada syarikat-syarikat dan mendorong perubahan dasar.
Pada 2009, Israel mengambil langkah luar biasa dengan mengklasifikasikan BDS sebagai ancaman yang yang mempunyai risiko utama terhadap keselamatan dan kedaulatan sesebuah negara.
Keseriusan ancaman ini diperkukuh oleh laporan Reut Institute, iaitu sebuah badan pemikir berpengaruh Israel, yang pada 2010 mengakui BDS sebagai ancaman strategik dalam laporannya The Delegitimization Challenge: Creating a Political Firewall.
Kesan BDS telah mendorong beberapa syarikat multinasional seperti Veolia dan Orange untuk menarik diri daripada wilayah pendudukan serta mempengaruhi keputusan beberapa dana pencen dan institusi akademik di Barat untuk memutuskan hubungan ekonomi dengan entiti Israel yang berkaitan.
Tindak balas agresif Israel, termasuk usaha melobi untuk menggubal undang-undang anti-BDS di beberapa negara, bukan sahaja mengesahkan kebimbangan mereka terhadap gerakan ini, malah telah meningkatkan profil BDS di arena global, mencetuskan perbahasan yang lebih luas tentang dasar Israel terhadap Palestin dan peranan masyarakat sivil dalam mempengaruhi dasar antarabangsa.
Gerakan boikot seperti ini adalah perjuangan jangka panjang, mirip dengan gerakan anti-aparteid di Afrika Selatan yang mengambil masa berdekad-dekad untuk mencapai kejayaan.
Gerakan boikot terhadap Israel mungkin memerlukan masa yang sama atau lebih lama, terutamanya kerana Israel mempunyai sokongan kuat daripada Amerika Syarikat (AS).
Prinsip yang harus diingat dalam mana-mana perjuangan bahawa usaha yang konsisten dan sokongan yang meluas dapat membawa perubahan yang signifikan walaupun memerlukan masa yang lama.
Masa-masa mencabar bukanlah penghalang sebenar, tetapi menjadi batu loncatan ke arah kejayaan yang lebih besar.-UTUSAN
BASMIN MAAROF
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia










