Konsep beli dulu bayar kemudian jerat individu berhutang

Konsep beli dulu bayar kemudian jerat individu berhutang

SEBAGAI pengguna seharusnya lebih bijak bertindak dalam menggunakan sebarang kemudahan yang disediakan supaya tidak terjerat dengan hutang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERKEMBANGAN trend semasa perniagaan di platform e-dagang menunjukkan perubahan yang pantas dan lebih mendapat sambutan semenjak pandemik Covid-19. Sebelum wujudnya era perniagaan platform ini, kaedah pembelian yang dilakukan oleh pengguna adalah secara konvensional iaitu pengguna perlu membeli secara fizikal.

Bagi menarik pengguna untuk menggunakan platform tersebut, pelbagai strategi pemasaran dan perniagaan dilakukan bagi memastikan kelangsungan perniagaan antara kaedah beli dahulu bayar kemudian.

Konsep ini sekiranya dilihat sekadar pada luaran merupakan kaedah yang mampu membantu pelanggan untuk mendapatkan barang-barang keperluan. Namun, tanpa sedar pada hakikatnya ia merupakan satu perangkap halus kewangan yang mampu ‘menarik’ seseorang dalam krisis kewangan lebih besar secara perlahan-lahan.

Walaupun mempunyai kelebihan tetapi ia juga mempunyai keburukan kerana akan menggalakkan pengguna melaksanakan perbelanjaan yang bersifat impulsif sehingga mengakibatkan perbelanjaan berlebihan dari kapasiti kewangan.

Hal ini kerana individu tersebut akan merasakan masih mempunyai ruang untuk meningkatkan kapasiti hutangnya disebabkan oleh jumlah hutang yang dipecahkan kepada nilai yang lebih kecil untuk satu tempoh waktu sehingga membuatkan individu cenderung berpendapat bahawa mereka masih mampu untuk menampung hutang kewangan yang lain. Walaupun pada hakikatnya nisbah kewangan terhadap jumlah pendapatan semakin meningkat.

Menurut saranan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), nisbah hutang kepada pendapatan yang berada dalam kategori baik adalah 45 peratus dan ke bawah.

Selain itu, melalui kaedah ini juga boleh menjejaskan nilai kredit skor individu jika lewat membuat pembayaran yang boleh mengakibatkan yuran pembayaran lewat dan caj tambahan akan dikenakan.

Antara nasihat yang biasa saya sampaikan kepada masyarakat dan juga individu adalah kita tidak dapat menyalahkan atau menghalang sesebuah syarikat dari melaksanakan strategi perniagaan dan pemasaran bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka tetapi sebagai pengguna seharusnya lebih bijak bertindak dalam menggunakan sebarang kemudahan yang disediakan.-UTUSAN

DR. NURUL ASHIKIN ALIAS
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN