Kenali, pelajari biodiversiti dengan setem

Kenali, pelajari biodiversiti dengan setem

KITA dapat belajar dan menghargai keindahan khazanah biodiversiti di seluruh dunia dengan mengumpul setem.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

HOBI mengumpul setem merupakan antara hobi yang semakin dilupai. Pada suatu ketika dahulu, hobi ini merupakan antara hobi yang paling digemari ramai dan popular, baik dalam kalangan orang dewasa mahu pun kanak-kanak dan remaja. Kini hanya segelintir sahaja masih setia mengumpul dan menghargai setem.

Senario ini sedikit sebanyak disebabkan kemajuan teknologi maklumat yang mengubah cara berkomunikasi.

Kiriman kad ucapan perayaan, ucapan tahniah dan ucapan ulang tahun kini melalui mesej pesanan ringkas di platform WhatsApp atau Telegram. Maka, tidak hairanlah sekiranya ada dalam kalangan generasi sekarang yang tidak mengetahui apa itu setem, kegunaannya dan di mana ingin mendapatkannya.

Setem dikeluarkan oleh badan atau agensi rasmi yang bertanggungjawab menguruskan perkhidmatan pos di sesebuah negara. Pemilihan tema bagi keluaran setem biasanya dipilih berdasarkan tema peristiwa penting, tokoh terkenal, seni, budaya, warisan, isu semasa dan biodiversiti, merangkumi kedua-dua flora dan fauna.

Tema biodiversiti merupakan antara keluaran yang sangat popular dan sering diterbitkan oleh perkhidmatan pos di serata dunia. Tidak terkecuali, Pos Malaysia juga pernah mengeluarkan pelbagai koleksi setem berkaitan biodiversiti tempatan seperti paku-pakis, bunga-bungaan, orkid liar, hidupan laut terancam, lebah madu, ikan air tawar, burung, rama-rama, pepatung dan lain-lain.

Koleksi setem bertemakan burung sentiasa menerima sambutan yang menggalakkan. Ini tidak menghairankan kerana terdapat lebih daripada 11,000 spesies burung di seluruh dunia, masing-masing dengan penampilan dan keunikan mereka yang tersendiri.
Berdasarkan pangkalan data Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS) terdapat lebih kurang 785 spesies burung di Malaysia. Antara koleksi bertemakan burung yang pernah dikeluarkan oleh Pos Malaysia ialah burung tanah tinggi, burung enggang, burung yang dilindungi, serta koleksi burung raja udang.

Lebih menarik, pengeluaran setem kenang-kenangan bersempena sesuatu peristiwa juga sering menggunakan biodiversiti sebagai temanya. Baru-baru ini, Pos Malaysia mengeluarkan setem sempena Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China. Setem yang bernilai RM1.50 setiap satu itu direka bentuk dengan menggunakan imej pokok merbau dan pokok pine.

Jelas melalui rekabentuk koleksi setem kenang-kenangan ini kita dapat mengumpul dan berkongsi maklumat penting tentang pelbagai spesies dan habitat biodiversiti yang ada di negara kita. Secara tidak langsung ini mampu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan melestari alam, dan menyokong usaha pemuliharaan serta memelihara biodiversiti oleh pelbagai pihak berkepentingan.

Selain itu, dengan mengumpul setem juga kita dapat belajar dan menghargai keindahan khazanah biodiversiti di negara lain.

Mengumpul setem adalah lebih daripada sekadar hobi. Ia turut mempunyai nilai pendidikan yang tinggi jika kita mula melihatnya sebagai medium bernilai tambah kepada usaha pembelajaran dan penghargaan terhadap kepelbagaian biodiversiti di seluruh dunia.-UTUSAN

AFFAN NASARUDDIN
Pegawai Penyelidik
Pusat Pembangunan Lestari
Universiti Malaya (UMSDC)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×