SAUDARA PENGARANG,
Suasana pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap kali ini agak sederhana dengan tidak banyak poster dan bendera parti bertanding diletakkan yang boleh memukau pandangan orang ramai apatah lagi kepada penduduk di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan yang akan membuang undi, Sabtu ini.
Hasil tinjauan serta risikan maklumat akhir yang kami terima pada minggu terakhir kempen PRK ini menunjukkan pengundi putih dan kelabu sekali lagi akan berperanan sebagai penentu bagi memastikan kemenangan parti bertanding.
Dalam PRK ini, isu dan permasalahan rakyat menjadi topik utama seperti kenaikan harga diesel dan isu sensitiviti rakyat untuk dinilai sebelum tiba hari pembuangan undi.
Malah kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan komitmennya untuk meneruskan legasi mendiang Datuk Seri Karpal Singh dalam memerangi sentimen perkauman, fanatik agama dan rasuah di negara ini dilihat seolah hendak menggambarkan legasi Karpal mahu dijadikan teras keteladanan kerana beranggapan orang Melayu sering membawakan naratif perkauman secara keterlaluan atau dianggap rasis ekoran bertindak menghasut orang Melayu membenci beberapa pemimpin DAP.
Meskipun gabungan jentera pilihan raya Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) serta beberapa pemimpin politik mempamerkan semangat jitu dan kerjasama yang bersepadu disamping mempertaruhkan seorang calon hebat tetapi semuanya tidak akan membawa apa-apa makna jika krisis kepercayaan dan keyakinan menjejaskan sokongan pengundi.
Semuanya itu akan ditentukan melalui tanda sokongan atas kertas undi nanti.-UTUSAN
TOK WALI SONGEI
Pulau Pinang










