Hapuskan prejudis terhadap orang yang hidup dengan HIV

Hapuskan prejudis terhadap orang yang hidup dengan HIV

STIGMA negatif terhadap pesakit HIV dan AIDS membantutkan usaha mencegah penularan penyakit itu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MAJLIS AIDS Malaysia (MAC) menyeru para pengamal media tempatan untuk lebih sensitif terhadap sentimen negatif atau prejudis yang mendiskriminasikan orang yang hidup dengan HIV di lapangan media.

Seruan ini dibuat susulan daripada penerbitan artikel oleh sebuah akhbar tabloid terkemuka yang telah mendedahkan status HIV seorang wanita hamil yang sedang menjalani perbicaraan di mahkamah tanpa kerelaan beliau. Artikel yang diterbitkan pada 19 Jun lalu itu menjadi buah mulut percakapan orang ramai serta tular di media sosial.

Pendedahan status HIV wanita berkenaan yang dibuat dalam konteks perbicaraan kes jenayah yang sedang berlangsung pada ketika itu dan dengan secara tidak langsung telah membina konotasi negatif terhadap komuniti orang yang hidup dengan HIV. Situasi ini dikhuatiri akan menggalakkan lagi stigma dan diskriminasi terhadap komuniti ini.

MAC, yang mewakili suara lebih daripada 70,000 ODHA (orang yang hidup dengan HIV dan AIDS) di seluruh negara, mendukung harapan besar agar semua pihak dapat memberi kerjasama untuk menghentikan stereotaip negatif terhadap golongan ini dalam media.

Malaysia kini sedang bergelut dengan penularan HIV secara transmisi seksual, yang mana ramai individu berisiko tinggi yang tidak sedar dengan status HIV mereka dan malu untuk tampil ke hadapan bagi menjalani saringan kerana stigma dan diskriminasi. Isu yang sama juga menghalang ramai ODHA dari memulakan rawatan dan memencilkan diri kerana masih sangsi dengan penerimaan masyarakat.

Saranan kami ini selari dengan matlamat dan aspirasi Pelan Strategik Nasional bagi mengakhiri AIDS menjelang 2030 oleh Kementerian Kesihatan, yang di antara lain, menekankan penglibatan media untuk membina persekitaran yang kondusif bagi mengurangkan stigma dan diskriminasi dan meningkatkan akses kepada rawatan dan jagaan HIV.-UTUSAN

MAJLIS AIDS MALAYSIA
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN