SAUDARA PENGARANG,
Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med (Euro-Med) berkata tentera Israel sedang melancarkan perang intimidasi dan pemindahan paksa terhadap penduduk Gaza dan utaranya di tengah-tengah gelombang besar perpindahan.
Malah organisasi itu mendokumentasikan perpindahan puluhan ribu penduduk Gaza dari pelbagai kawasan di bandar itu dan mereka kini berada di tempat terbuka dengan mengenakan fait accompli (sudah dilakukan) tanpa menyediakan sebarang koridor untuk perpindahan yang selamat.
Organisasi tersebut mendedahkan bahawa operasi pemindahan berlaku berdasarkan arahan pemindahan bercanggah yang dikeluarkan oleh tentera Israel di kawasan besar Gaza, bertepatan dengan kesinambungan kebuluran dan pembunuhan yang berleluasa.
Dalam pada itu, tentera Israel melancarkan operasi ketenteraan dengan pencerobohan darat ke kawasan barat laut Gaza yang sesak dengan puluhan ribu orang yang berpindah, beberapa jam selepas bertanya penduduk At-Tuffah, Ad-Daraj dan Asy-Syuja’iya di kejiranan Timur Gaza, untuk pergi ke kawasan yang disasarkan.
Euro-Med bimbang dengan laporan ini. Israel masih mengamalkan dasar sistematik yang menyasarkan orang awam di Semenanjung Gaza yang dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Selain itu, Israel sengaja menampakkan kejahatannya dengan melakukan pembunuhan dan membiarkan kebuluran untuk mengenakan pemindahan paksa ke atas penduduk Gaza, seterusnya memusnahkan semua komponen asas kehidupan termasuk menyasarkan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pusat perlindungannya. Tidak terkecuali, mereka melakukan pembunuhan besar-besaran yang setiap satunya merupakan jenayah antarabangsa sepenuhnya.
Jenayah serius yang dilakukan ialah jenayah pemindahan paksa bertujuan memusnahkan kehidupan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Masyarakat antarabangsa sewajarnya meneruskan tekanan kepada Israel untuk menghentikan semua jenayahnya. Israel mesti mematuhi undang-undang perang yang melarang, di bawah sebarang justifikasi, dengan sengaja menyasarkan orang awam dan menganggap pemindahan paksa mereka sebagai kubur, pelanggaran yang sama dengan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Pihak antarabangsa yang secara jelas mengisytiharkan penentangan terhadap sebarang bentuk pemindahan paksa mempunyai tanggungjawab untuk berhadapan dengan rancangan Israel ini kerana tindakan tidak berperikemanusiaan itu membuktikan tahap dehumanisasi yang berterusan, perampasan hak dan kemusnahan nyawa penduduk Palestin.
Penderitaan rakyat yang dipindahkan secara paksa di Semenanjung Gaza mesti ditamatkan.
Kepulangan mereka ke kawasan kediaman sendiri mesti disegerakan memandangkan krisis kemanusiaan yang sangat dahsyat serta kompleks yang dialami. Israel mesti dihalang daripada terus bertindak sewenang-wenangnya dengan mengetepikan undang-undang antarabangsa.
Tidak hairanlah masyarakat dunia tanpa mengira agama, kaum dan bangsa mengadakan bantahan secara besar-besaran sama ada melalui perhimpunan, perarakan mahupun memboikot syarikat atau barangan yang jelas menyumbang kepada ekonomi Israel.
Memetik kata Mike Bardwel, pengguna TikTok warga Amerika Syarika (AS), rakyat Palestin melakukan revolusi bukan sahaja terhadap negara dan warganya tetapi juga dunia.
Hakikatnya, seluruh warga dunia terhutang budi kepada rakyat Palestin kerana merekalah yang berjuang untuk memperoleh kebebasan buat semua. Namun harga yang dibayar begitu mahal dan melibatkan pengorbanan tidak ternilai.
Bersama-samalah kita bersolidariti untuk rakyat Palestin. Teruskan doa-doa kita.-UTUSAN
ATRIZA UMAR
Pegawai Kanan Jabatan Pendidikan Masyarakat IKRAM Duat Al-Falah










