SAUDARA PENGARANG,
SEGERAKAN membina jalan raya dari Broga, Selangor ke simpang Pelangai, Pahang. Alasannya ialah Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak (KLK) tidak mampu lagi menampung bilangan kenderaan yang semakin banyak terutama di waktu-waktu tertentu.
Menurut statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jumlah kenderaan di negara ini mencecah 36 juta, dan pemandu berlesen pula lebih 16 juta orang. Jadi, berapa juta pula kenderaan yang berulang alik ke Pantai Timur? Pastinya jumlah itu bertambah saban hari.
Kesesakan yang paling serius biasanya bermula dari Plaza Tol Gombak hingga Terowong Genting Sempah disebabkan bottleneck menyebabkan kenderaan perlahan untuk memasuki terowong yang hanya mempunyai dua lorong sehala.
Seperti diketahui, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dari Gua Musang, Kelantan hingga Simpang Pelangai yang sedang dibina dijangka siap sepenuhnya pada 2027. Maka sesuai dengan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk membina jalan raya baharu dari Broga ke Simpang Pelangai seperti yang dibentang dalam Belanjawan pada hujung 2022 sewajarnya disegerakan. Disamping itu, lebih baik dibina jalan bertaraf lebuh raya seperti LTU sama ada tanpa tol atau bertol.
Dengan adanya jalan ini, pengguna jalan raya ke Pantai Timur dari Selatan Lembah Kelang, Melaka dan Negeri Sembilan tidak perlu lagi menggunakan KLK. Secara tidak langsung, bilangan kenderaan yang menggunakan lebuh raya ini dapat dikurangkan. Namun sekiranya berlaku kesesakan, ia mungkin tidak seteruk seperti mana sekarang.
Bahkan pembinaan jalan baharu ini sudah pasti sedikit sebanyak mengubah corak pembangunan di kawasan berkenaan sebagai pusat pertumbuhan baharu ekonomi setempat. Namun aspek pemeliharaan alam sekitar terutama hutan dan kehijauan perlu juga diutamakan.
Di samping itu, juga jalan raya ini sedikit sebanyak menjadi laluan alternatif penduduk bahagian tengah dan utara Pahang untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tanpa perlu melalui KLK. – UTUSAN
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur










