Ambil tahu tanggungjawab penghuni tanahterhadap pelawat

Ambil tahu tanggungjawab penghuni tanah terhadap pelawat

KEJADIAN malang menimpa dua beradik sehingga mengakibatkan maut selepas termakan makanan ringan dicampur racun tikus di Kulim, Kedah, baru-baru ini memberikan hak kepada pihak yang tercedera untuk meminta pampasan sewaktu berada di dalam kawasan tanah atau premis penghuni.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

AKHIR-AKHIR ini, rakyat Malaysia sering kali mendengar kejadian dan kemalangan tragis di kawasan tanah persendirian mahupun di kawasan awam seperti yang dilaporkan baru-baru ini tentang dua orang kanak-kanak yang termakan racun dalam bungkusan makanan ringan.

Selain itu, terdapat juga berita lain seperti pekerja jatuh dari bangunan, pokok tumbang, dan lain-lain. Dari perspektif undang-undang, terdapat satu istilah yang disebut liabiliti penghuni yang memberikan hak kepada pihak yang tercedera untuk meminta pampasan atas kecederaan yang dialami sewaktu berada di dalam kawasan tanah atau premis penghuni.

Maksud ‘penghuni’ tidak terbatas kepada pemilik tanah sahaja tetapi termasuk juga setiap orang yang mempunyai tahap kawalan yang mencukupi terhadap tanah atau premis berikut.

Ini bermaksud, bukan sahaja pemilik tanah mempunyai tanggungjawab ke atas setiap orang yang berada di premis tetapi termasuk juga penyewa, penduduk, kerajaan tempatan dan sesiapa sahaja yang dilihat mempunyai tahap kawalan yang mencukupi terhadap premis.

Biarpun begitu, penghuni mempunyai tanggungjawab yang berbeza mengikut kategori pemasuk tanah atau permis. Terdapat empat kategori pemasuk (entrants) iaitu berkontrak, jemputan, berlesen dan penceroboh.

Pemasuk berkontrak boleh dikatakan mereka yang membayar untuk memasuki premis bagi tujuan menghuni premis atau tujuan aktiviti lain seperti penonton wayang, pesakit di hospital dan lain-lain. Tanggungjawab penghuni terhadap mereka ialah yang paling luas kerana perlu memastikan supaya premis tersebut selamat bagi tujuan yang dikontrakkan dan harus mencegah sebarang kerosakan yang mampu mencederakan.

Kebiasaannya, pemasuk jemputan dan penghuni mempunyai kepentingan bersama. Penghuni di bawah kategori ini mempunyai tanggugnjawab untuk memastikan pemasuk premis selamat dari bahaya luar biasa untuk pemasuk tetapi seharunya diketahui oleh penghuni.

Seterusnya, pemasuk berlesen boleh didefinisikan sebagai mereka yang memasuki premis dengan keizinan suka rela penghuni secara jelas atau tersirat. Berbeza dengan pemasuk jemputan, pemasuk berlesan dan penghuni tidak mempunyai kepentingan bersama dan tidak menguntungkan penghuni.

Akhir sekali, penghuni juga mempunyai tanggungjawab terhadap penceroboh yang memasuki tanah atau premis tanpa kebenaran.

Kesimpulanya, sesiapa sahaja yang berada dibawah definisi ‘penghuni’ dalam maksud undang-undang harus mengambil cakna tanggungjawab mereka terhadap setiap kategori pemasuk premis dan tidak terkecuali juga tanggungjawab mereka terhadap penceroboh.

Pemasuk juga harus mengetahui hak-hak mereka yang diberikan undang-undang jika ditimpa kecederaan ketika berada di sesebuah premis.-UTUSAN

MUHAMMAD IMAN HAKIM
ABDUL RAHMAN
Seri Kembangan, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×