SAUDARA PENGARANG,
REPORTER Without Borders (RSF) melaporkan Malaysia mencatat 52.07 mata berbanding tahun lalu dengan pencapaian 62.83 mata. Prestasi Malaysia merosot 34 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 sekali gus menempatkan negara pada kedudukan ke-107 berbanding tangga ke-73, tahun lalu.
Situasi ini meletakkan Malaysia pada kedudukan kedua bagi negara ASEAN selepas Thailand yang berada pada tangga ke-87 dalam indeks tersebut. Ia diikuti Indonesia di tangga ke-111, Brunei (117), Singapura (126), Filipina (134), Kemboja (151), Laos (153), Myanmar (171) dan Vietnam (174).
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menyatakan penurunan kedudukan negara didorong oleh tindakan kerajaan dalam menapis dan menyekat hantaran atau perkongsian yang menyentuh sentimen 3R (agama, raja dan kaum).
Meskipun pada mulanya terdapat langkah-langkah positif untuk menggalakkan kebebasan media seperti penghapusan akta-akta yang mengongkong media, namun perkembangan ini belum mencapai taraf yang memuaskan. Contohnya, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 masih memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk memantau dan mengawal kandungan media.
Kita perlu memikirkan kaedah yang holistik dalam meningkatkan kebebasan dan fungsi media sebagai pengimbang antara kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman. Kerajaan perlu sentiasa bekerja sama dengan pengamal media dan ahli akademik untuk memastikan garis panduan dipatuhi tanpa menyentuh sensitiviti kaum, agama dan raja-raja Melayu.
Ini termasuk melakukan reformasi yang menyeluruh dalam bidang media. Langkah-langkah yang perlu diambil termasuk memperkuatkan undang-undang untuk melindungi kebebasan media, menghapuskan sebarang undang-undang yang boleh disalahgunakan untuk menindas media serta memastikan bahawa wartawan dan pengamal media dilindungi daripada tekanan politik atau ancaman.
Pendekatan kolaboratif antara pihak kerajaan, industri media dan masyarakat awam juga penting termasuk membangunkan kod etika yang mengiktiraf kepentingan kebebasan media sambil memastikan integriti dalam melaporkan berita.
Penting bagi Malaysia untuk terus berusaha meningkatkan kebebasan media sebagai satu asas demokrasi yang kukuh. Hanya dengan memastikan akses yang bebas kepada maklumat dan memelihara ruang untuk perbincangan dan perbezaan pendapat selagi dilakukan dengan hormat dan hemat, Malaysia dapat memastikan pembangunan yang mampan dan inklusif bagi semua lapisan masyarakatnya.
Antara cadangannya ialah memperkuat perlindungan undang-undang terhadap kebebasan media, memastikan kepemilikan media lebih seimbang dan berpecah kepada pelbagai pemilik berbeza dan memperkenalkan dasar-dasar yang menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti dalam industri media.
Pembinaan kesedaran awam mengenai pentingnya kebebasan media dalam sebuah masyarakat juga penting. Libatkan pihak-pihak berkepentingan seperti media, kerajaan, masyarakat sivil dan badan-badan antarabangsa dalam perbincangan dan perundingan untuk mencari penyelesaian yang bersepadu juga boleh memberikan impak yang positif dalam meningkatkan kebebasan media.
Keterbukaan kerajaan mengadakan rundingan serta perbincangan bagi menangani berita palsu atau penyebaran maklumat tidak benar amat dialu-alukan bagi meningkatkan kefahaman dan persamaan landskap media di Malaysia berbanding negara lain.
Satu pendekatan holistik melibatkan urus input pelbagai pihak perlu diambil kira bagi membantu semua pihak terlibat dalam menjadikan landskap media Malaysia menjadi lebih progresif dan berwibawa.-UTUSAN
DR. MASTURA MAHAMED
Jabatan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia










