Tanah pusaka perlu diagih secara adil, ikut hukum faraid

Tanah pusaka perlu diagih secara adil, ikut hukum faraid

ISLAM menentukan jumlah pembahagian faraid kepada penerima waris secara bersebab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MEDIA massa sering melaporkan kejadian kes perebutan tanah pusaka sehingga membawa kepada kematian dan boleh didakwa di bawah seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh.

Perebutan harta pusaka masih terjadi meskipun pembahagian telahpun dilaksanakan melalui hukum faraid. Walaupun kaedah hukum faraid sudah ada, namun pihak yang ‘cerdik’ dan ‘tamak’ tidak pernah ‘setuju’ tentang pengagihan hukum syarak. Ini disebabkan ketamakan yang sehingga menjadikan seseorang menipu dan membelangkangi hukum syarak.

Rasulullah juga sudah mengingatkan umat Islam tentang ancaman keras sekiranya memiliki tanah wasiat secara penipuan.

“Sesiapa yang mengambil tanah (meskipun) sedikit tanpa haknya maka dia akan ditenggelamkan dengan tanahnya pada hari kiamat sampai ke dasar tujuh lapis bumi.” (Riwayat Bukhari).

Selain itu, Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa “Siapa sahaja orang yang menzalimi (dengan) mengambil sejengkal tanah (orang lain), nescaya Allah akan membebaninya (pada hari kiamat) hingga ke tujuh lapis bumi, lalu Allah akan mengalungkannya (di lehernya) pada hari kiamat sampai seluruh manusia diadili.” (Riwayat Ibnu Hibban dan Ahmad).

Selain kaedah penipuan, ada pihak cuba mendakwa semua bahagian yang diwarisi adalah hak mereka dengan cara seperti menambun tanah, menanam pokok dan menutup laluan yang akhirnya menyebabkan sebahagian waris lain menjadi mangsa.

Lebih malang jika ada pihak mengubah kedudukan tanah yang strategi dengan harga tinggi di pasaran kepada nilaian harga yang rendah kepada waris lain demi memastikan keuntungan hanya berpihak kepada yang ‘cerdik’ dan ‘tamak’.

Bagi menyelesaikan isu perebutan tanah pusaka, sudah tentu semua pihak perlu berlapang dada dan menerima bahagian masing-masing dengan adil.

Sudah sampai masanya hal terkait dengan pengurusan harta pusaka dapat diuruskan dengan baik tanpa menzalimi mana-mana pihak.-UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI
Akademi Pengajian
Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi MARA cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN