Subsidi telur dialu-alukan, tetapi isu lebih besar jugaperlu diatasi

Subsidi telur dialu-alukan, tetapi isu lebih besar juga perlu diatasi

Subsidi telur antara makanan yang perlu diberi fokus oleh kerajaan dalam Belanjawan 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

INISIATIF kerajaan untuk memberikan subsidi harga telur perlu dilihat sebagai langkah sementara memandangkan subsidi dalam jangka panjang adalah tidak mampan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong usaha menurunkan harga makanan tetapi menggesa kerajaan untuk menangani cabaran keterjaminan makanan yang sudah lama berlaku dengan lebih mendalam.

Rakyat Malaysia mengambil lebih 940 juta telur sebulan, menjadikan telur sebagai sumber protein yang penting dan berpatutan dengan kegunaan masakan yang pelbagai. Sementara subsidi lain juga perlu dilihat, CAP menentang subsidi bagi gula kerana kadar diabetes yang tinggi di Malaysia dan tertinggi di rantau Pasifik Barat selain antara yang tertinggi di peringkat global.

Purata pengambilan gula isi rumah dianggarkan sebanyak 2.6 kilogram (kg) sebulan, menyumbang dengan ketara kepada isu kesihatan. Penternak ayam dan itik sangat bergantung kepada makanan import, merupakan 70 peratus daripada jumlah kos menternak ayam.

Untuk menstabilkan harga makanan, adalah penting untuk melabur dalam pengeluaran makanan tempatan. Institusi pengajian tinggi (IPT) telah menjalankan penyelidikan yang meluas mengenai pengeluaran makanan haiwan yang kos efektif dan berkhasiat.

Ini boleh mengurangkan kebergantungan kepada import dan menyokong pertanian tempatan. Lebih-lebih lagi, penternak ayam dan itik perlu mempertimbangkan untuk mengurangkan pergantungan mereka terhadap ayam ternakan import dari Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).

Dengan penurunan harga telur, penting bagi peruncit untuk mematuhi harga yang diluluskan. Pengguna juga boleh melaporkan peruncit yang tidak patuh kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Kerajaan mesti menangani cabaran keterjaminan makanan yang telah lama wujud dengan lebih mendalam. Oleh sebab itu, Malaysia perlu segera memulihkan sektor pertaniannya untuk memastikan keterjaminan makanan bagi negara.-UTUSAN

MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN