SPM permulaan perjalanan, bukan pengakhiran

SPM permulaan perjalanan, bukan pengakhiran

JANGAN sesekali berhenti untuk terus belajar dan menimba pengalaman baharu. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SIJIL Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan satu tanda aras penting dalam perjalanan hidup seorang pelajar. Ia bukan sahaja menguji pengetahuan akademik, tetapi juga mewakili peralihan hidup seorang pelajar dari alam persekolahan ke alam dewasa yang lebih mencabar.
SPM menawarkan peluang untuk pelajar membuktikan kemampuan diri dan berupaya meletakkan asas yang kukuh untuk masa depan. Kejayaan dalam peperiksaan ini membuka pintu kepada pelbagai pilihan pendidikan lanjutan yang sesuai dengan minat dan potensi diri masing-masing.

Kegagalan atau tidak beroleh keputusan yang baik dalam SPM bukanlah satu pengakhiran atau musibah kehidupan. Apa yang paling penting, usaha dan komitmen pelajar dalam proses pembelajaran, bukan hanya keputusan akhir sahaja.
Anggaplah kegagalan beroleh keputusan yang diharapkan dalam SPM adalah permulaan kepada satu cabaran baharu.

Keputusan SPM ini seharusnya dijadikan pendorong untuk bangkit semula dan terus berusaha dengan lebih gigih. Memang lumrah kehidupan apabila kejayaan didahului oleh kegagalan yang berkali-kali. Setiap orang mempunyai peluang untuk berjaya dalam pilihan hidup masing-masing.

Ini telah dibuktikan oleh ramai orang yang berjaya. Peluang untuk meneruskan pelajaran masih luas terbuka melalui pelbagai program yang disediakan oleh kerajaan merangkumi kurus kemahiran atau pengajian di pelbagai peringkat.
Kejayaan sebenar: Pembelajaran sepanjang hayat

Umumnya, kecemerlangan akademik sering kali dianggap sebagai matlamat muktamad dalam proses pendidikan.

Namun, sebenarnya ia hanyalah sebahagian kecil daripada perjalanan panjang menuntut ilmu yang perlu diteruskan sepanjang kehidupan. Terlalu kerap kita terpaku dengan mengejar pencapaian gred dan kelayakan akademik semata-mata sehingga melupakan hakikat sebenar pendidikan itu sendiri.

Justeru, pencapaian akademik yang tinggi seharusnya dilihat sebagai satu langkah dalam perjalanan pembelajaran sepanjang hayat, bukannya satu destinasi akhir. Jangan mengutamakan pencapaian akademik semata-mata tanpa menyedari hakikat sebenar ilmu itu sendiri.

Tidak dinafikan terdapat segelintir individu yang hanya mengejar ilmu untuk mendapat pengiktirafan dan kedudukan yang tinggi dalam masyarakat.

Mereka lupa bahawa pengembaraan sebenar dalam hidup adalah mencari ilmu dan mempelajari segala yang mampu dipelajari daripada setiap pengalaman yang dilalui demi membentuk insan yang bijaksana dan berbudi pekerti.

Ketinggian ilmu sepatutnya mendorong seseorang itu untuk menjadi orang yang merendah diri, berakhlak mulia dan bermanfaat kepada manusia dan alam.

Namun, berapa ramaikah orang yang berpelajaran tinggi gagal menaikkan akal pemikiran mereka untuk menjadi manusia yang bermoral atau berakhlak tinggi bagi manfaat alam sejagat?

Dalam era globalisasi dan perkembangan teknologi yang pesat pada masa kini, kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh semasa di bangku sekolah atau universiti tidak lagi mencukupi untuk membolehkan seseorang itu berjaya sepanjang hayat.

Justeru, sikap sentiasa ingin belajar secara terus-menerus dan meningkatkan diri amat diperlukan untuk terus kekal relevan dan berdaya saing. Jangan sesekali berhenti untuk terus belajar dan menimba pengalaman baharu.

Sebaliknya, jadilah pencari ilmu sepanjang hayat, kerana hanya dengan cara itulah kita dapat melahirkan insan yang benar-benar cemerlang bukan hanya dari segi akademik, tetapi juga dari segi pembangunan diri, akhlak mulia dan keupayaan untuk terus belajar serta berkembang sepanjang kehidupan. – UTUSAN

BASMIN MAAROF
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN