SAUDARA PENGARANG,
PADA 22 Mei 2024, kerajaan Malaysia telah menghantar delegasi ke mesyuarat Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) di Geneva diketuai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Delegasi ini juga disertai badan-badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan yang berkenaan termasuklah Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM), Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan lain-lain.
Semasa sesi dialog, JKSM diminta mengulas tentang beberapa isu yang menimbulkan kegusaran kepada pihak CEDAW. Seperti yang dijangkakan, isu-isu yang khusus dipegang oleh umat Islam seperti poligami, fara’id dan khitan menyebabkan darah ahli tertinggi CEDAW menyirap kerana bercanggah dengan kiblat ‘hak wanita’ dan ‘kesamarataan jantina’ mereka yang tidak ada sempadan.
Malangnya, wakil dari JKSM memberi jawapan seolah-olah budak sekolah yang ditangkap kerana datang lambat selepas loceng berbunyi.
Soalnya mengapakah kita masih lagi terhegeh-hegeh mendambakan ‘keredan’ dari pihak-pihak sebegini? Bilakah kita akan memberi jawapan kepada masyarakat ‘Judeo-Kristian’ yang senada dengan Presiden Guyana, Mohamed Irfaan Ali saban hari, yang menyembelih wartawan, Hardtalk Stephen Sackur apabila beliau disoal tentang rizab petroleum negara itu?
Adakah corak pemikiran kita masih dijajah oleh ideologi Barat? Jelas sekali jawapannya. Bilakah kita akan mencapai kemerdekaan sebenar?
Dunia kini telah sampai ke tahap yang mana para pendukung ‘dunia demokrasi’ kini telah melanggar segala undang-undang (yang dicipta oleh mereka) kononnya untuk ‘melindungi kebebasan dan demokrasi’.
Tiada satu pun garisan merah yang menjadi sempadan, segala jenayah perang telah dilangsungkan tanpa segan silu, setiap jenis undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia telah dilanggar dan dihumban ketepi.
Malah aksi jelek mereka sekarang termasuklah ugutan nyawa terhadap para peguam dan hakim antarabangsa termasuk keluarga mereka.
Oleh yang demikian, mengapakah persepsi kita terhadap mereka masih belum berubah? Tidak cukupkah bukti-buktinya? Kita sebagai negara berdaulat yang berkiblatkan syariat Islam yang jelas, jauh lebih padu dan mantap berbandingkan demokrasi liberal yang berkiblatkan hawa manusia tanpa panduan dan batasan.-UTUSAN
MUSLIMAH PRIHATIN
Kuala Lumpur










