Pujuk 10,160 yang tidak duduki SPM pelajari TVET

Pujuk 10,160 yang tidak duduki SPM pelajari TVET

PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) pilihan terbaik untuk menyambung pengajian kerana kursus ini mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri yang menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang tertentu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEDIH dan membimbangkan bila terbaca laporan sebanyak 10,160 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak hadir peperiksaan.

Sesungguhnya pengumuman Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan merupakan angka yang membimbangkan kerana mereka terdiri daripada golongan belia.

Saya berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bukan sahaja perlu meneliti secara terperinci berhubung perkara ini tetapi menggerakkan pasukan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kementerian Belia dan Sukan termasuk pemimpin masyarakat bagi mengesan dan mendapatkan penjelasan mengapa ini terjadi.

Rata-rata dalam temu bual dan kenyataan menyatakan ketidakhadiran pelajar ini disebabkan faktor kemalangan, kecemasan, bencana, masalah kesihatan kronik, sudah bekerja dan berkahwin.

Saya melihat walaupun jumlah mereka yang terlibat dalam kemalangan, kecemasan dan bencana mempunyai hubungkait tetapi satu pasukan perlu digerakkan bagi membimbing dan memberi motivasi kepada mereka yang bekerja pada usia 18 tahun berbanding dengan belia yang telah berkahwin.

Menjadi tanggungjawab pemimpin belia, masyarakat dan NGO untuk memujuk golongan ini agar mengambil peperiksaan dan meneruskan pengajian dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) yang saya lihat mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri yang menghasilkan tenaga kerja kompeten dalam bidang-bidang tertentu.

Sebagai pemimpin belia, saya menyeru kepada calon SPM 2023 yang tidak mengambil peperiksaan itu dan juga kepada mereka yang ingin menyambung pengajian dalam TVET supaya bertindak sekarang sebelum terlambat kerana anda semua adalah pemimpin akan datang yang akan mencorakkan negara bangsa.

Oleh itu, sebelum terlambat saya menyeru semua belia sama ada yang baharu menerima keputusan atau tidak mengambil peperiksaan SPM 2023 supaya saling membantu dan menyampaikan maklumat ini pada rakan-rakan lain.-UTUSAN

MUHAMMAD SANIY SAMSUDIN
Pemenang Anugerah Perdana
Belia Negara Perlis 2024

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×