Pemimpin, rakyat kunci keharmonian negara

Pemimpin, rakyat kunci keharmonian negara

PEMIMPIN politik dan rakyat mempunyai peranan masing-masing dalam menjaga setiap tingkah laku dan tidak melangkaui sempadan yang sepatutnya. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

JIKA ditelusuri, para pemimpin terdahulu amat berhati-hati apabila mengambil tindakan yang menyentuh tentang kontrak sosial, agama, pendidikan dan kebudayaan. Setiap dari komponen ini ada batas sempadan yang tersendiri dan sewajarnya tidak dilintasi atau diceroboh sesuka hati.

Jika garis sempadan ini dijaga dan dihormati oleh semua pihak ia akan memastikan keharmonian antara kaum sentiasa dipelihara dan tidak diperjudikan. Pemimpin politik dan rakyat mempunyai peranan masing-masing dalam menjaga setiap tingkah laku untuk berkelakuan dalam batasnya dan tidak melangkaui sempadan yang sepatutnya.

Tetapi kata pepatah ada menyebut, dalam setandan pisang tidak semuanya berbuah elok. Begitulah dalam masyarakat kita yang majmuk dan rencam, pasti ada kelompok kecil yang sengaja ‘melintasi’ sempadan yang akhirnya mencetuskan polemik isu perpaduan yang mengambil masa untuk diredakan.

Sebarang isu kecil yang tercetus boleh menjadi punca kepada reaksi luar jangka malah lebih mengecewakan ia direka-reka dan ditokok tambah sehingga masyarakat percaya dan bertindak. Ada dua elemen yang akan memastikan sempadan ini tidak dilintasi sesuka hati iaitu setiap dari kita menjadi rakyat yang beradab dan melihat elemen keadilan lebih utama dari kesamarataan.

Hakikatnya telah lama wujud pelbagai adat dan budaya yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat yang mempunyai maksud dan tujuan tersendiri. Apabila dilihat dalam perspektif yang lebih luas, penekanan meneruskan tradisi adat dan budaya zaman berzaman dalam kehidupan seharian adalah satu proses didikan halus bagi melahirkan generasi masyarakat yang beradab.

Beradab menjadikan seseorang individu tahu dalam mengawal tingkah laku, sikap dan pertuturan apabila hidup dalam bermasyarakat. Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, amat penting untuk beradab pada satu sama lain dan juga kepada pemimpin. Paling penting beradab dengan sejarah pembentukan negara ini.

Menyentuh soal kesamarataan dan keadilan, pendekatan kesamarataan tidak boleh terpakai pada semua keadaan kerana kita perlu bersandar pada satu lagi prinsip yang lebih utama iaitu keadilan.

Adalah kurang tepat jika berpegang utuh pada kepercayaan bahawasanya dengan mengambil pendekatan kesamarataan ia akan membawa kepada keadilan.

Perlu difahami bahawa kesamarataan tidak semestinya membawa kepada keadilan kerana kedua-dua mempunyai pemberat yang berbeza dan tidak boleh terpakai pada semua keadaan.

Dalam konteks Malaysia, mengambil pendekatan kesamarataan dalam apa sahaja perkara yang dituntut untuk kerajaan laksanakan terutamanya yang boleh ditafsirkan sebagai melintasi sempadan harus dicermati dan diteliti dengan sebaiknya.

Ketaksuban memperkenalkan konsep kesamarataan pastinya akan membunuh konsep keadilan yang lebih insani dan tidak menzalimi.

Sesuatu dasar yang ingin diangkat perlu berdasarkan kepada realiti sebenar dan teras sejarah pembentukan negara ini. Ia bukannya bersandarkan kepada andaian yang tidak berpijak di bumi yang nyata, diselubungi dengan sentimen berlebihan dan lebih malang lagi demi memenuhi kepentingan sesetengah pihak sahaja.

Kita bersyukur di sebalik beberapa isu-isu yang terjadi baru-baru ini, ia mulai mereda hasil ketegasan, nasihat dan kebijaksanaan pemimpin di atas.-UTUSAN

MOHD. ZAINI OTHMAN
Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN