Pekerja malas, siapakah yang bertanggungjawab?

Pekerja malas, siapakah yang bertanggungjawab?

SIKAP malas tidak hanya mempengaruhi produktiviti pekerja tetapi memberi impak kepada organisasi secara keseluruhan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM setiap organisasi, produktiviti dan keberkesanan operasi menjadi tonggak utama yang menentukan kejayaan. Namun, apabila timbul isu pekerja malas, persoalan besar yang sering diajukan adalah, siapakah yang harus dipersalahkan?

Ketua atau pengurus dalam sesebuah organisasi memegang peranan penting dalam membentuk budaya kerja.

Ketua yang efektif adalah mereka yang tidak hanya memberikan arahan tetapi juga terlibat secara aktif dalam memantau prestasi setiap anggota team. Ketidakhadiran pengawasan ini boleh menyebabkan beberapa pekerja mengambil kesempatan untuk bersikap culas.

Sebagai contoh, dalam sebuah syarikat yang berkembang, tekanan untuk memenuhi sasaran boleh menjadi alasan bagi pengurus untuk fokus sepenuhnya pada hasil tanpa memperhatikan cara pencapaian sasaran tersebut. Akibatnya, pengawasan menjadi longgar dan pekerja yang kurang bermotivasi mungkin akan mula mencuri tulang kerana mengetahui tindakan mereka itu kurang diperhatikan. Ini menciptakan ruang bagi pekerja yang malas dapat terus lepas tangan dan tidak memberikan sumbangan yang sepatutnya kepada organisasi.

Dalam hal ini, penting bagi pengurus untuk memahami kepimpinan bukan hanya tentang pencapaian matlamat secara keseluruhan tetapi juga mengenal pasti dan mengurus sumber daya manusia secara efektif.

Pengurus yang baik harus dapat menilai kekuatan dan kelemahan setiap anggota teamnya dan memberikan motivasi atau intervensi yang diperlukan untuk memastikan pekerja dapat berfungsi pada tahap optimum.

Pekerja juga harus memikul tanggungjawab terhadap kerjaya dan tugas mereka. Setiap individu harus memiliki inisiatif untuk meningkatkan diri dan berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap aspek kerja. Mereka harus memahami sikap malas tidak hanya mempengaruhi produktiviti mereka sendiri tetapi juga impak kepada organisasi secara keseluruhan.

Dalam memastikan sebuah organisasi berjalan dengan lancar dan efektif, kerjasama antara pengurus dan pekerja adalah penting. Pengurus yang berwibawa dan sistem pengawasan yang baik mungkin dapat mengurangkan masalah pekerja malas, tetapi tanpa kerjasama dan komitmen dari seluruh anggota organisasi, isu ini akan terus menjadi penghalang terhadap pencapaian kecemerlangan bersama.-UTUSAN

AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Alam Impian, Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×