Lindungi masa depan kanak-kanak

Lindungi masa depan kanak-kanak

HANYA melalui tindakan bersepadu dan kesedaran yang tinggi, kita dapat membina persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERLU kita ketahui, kanak-kanak merupakan legasi seterusnya yang akan membantu dalam memajukan negara pada masa akan datang. Mereka membawa harapan dan potensi yang tidak terbatas. Namun, jika mereka dirosakkan pada usia muda, bagaimana hendak tumbuh dengan kekuatan dan keyakinan diri yang diperlukan untuk menghadapi cabaran hidup? Trauma dan penderitaan yang dialami akan menghalang perkembangan mereka, merosakkan mental dan emosional serta mengurangkan peluang untuk mencapai potensi penuh.

Oleh sebab itu, kita wajar mengambil inisiatif yang tegas. Inisiatif ini merangkumi individu, keluarga dan negara. Pencegahan yang paling berkesan adalah dari pihak individu itu sendiri.

Individu perlu bertanggungjawab dalam memastikan tidak terlibat dalam sebarang bentuk penderaan seksual. Oleh sebab itu, setiap individu perlulah mempunyai kesedaran dan pemahaman yang tinggi mengenai batasan serta hak asasi kanak-kanak untuk mencegah jenayah ini.
Ada juga beberapa kes yang mana kanak-kanak sendiri yang sukarela terlibat dalam seksual, namun untuk meletakkan kesalahan penuh ke atas diri mereka adalah tidak wajar kerana belum memahami apa itu seksual dan berfikir secara rasional. Mungkin pada mereka perkara ini tidak mempunyai kesan masa yang panjang.

Ibu bapa perlulah sentiasa memantau pergerakan anak-anak terutama jika pulang dari aktiviti luar seperti sekolah atau selepas menghantar anak-anak dari pusat jagaan.

Antara yang boleh ibu bapa lakukan adalah menerangkan kepada mereka secara ringkas tentang apa itu seksual dan kesan yang boleh terjadi dan memastikan keadaan fizikal mereka sendiri.

Selain itu, mereka haruslah memantau aktiviti anak-anak terutama sekali dalam penggunaan gajet.

Hal ini demikian kerana internet dan media sosial menjadi platform dan medium utama bagi permulaan dan penularan kes berkaitan jenayah seksual ini.

Di Malaysia, undang-undang seperti Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dirangka khusus untuk melindungi kanak-kanak daripada penderaan seksual.

Dan pada tahun 2023, dua pindaan baharu diluluskan untuk memerangi jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak iaitu seksyen baharu 15A Akta 792 memperuntukkan kesalahan yang berkaitan dengan persembahan seksual oleh kanak-kanak dan seksyen baharu 15B memperuntukkan kesalahan yang berkaitan dengan pemerasan seksual kanak-kanak.

Lantaran itu, negara perlu memastikan sistem sokongan yang kukuh seperti menyediakan pusat perlindungan, perkhidmatan kaunseling dan program pemulihan untuk mangsa.

Pihak berkuasa juga harus melatih pegawai penguatkuasa dan pendidik untuk menangani kes jenayah seksual dengan lebih berkesan.

Melalui tindakan tegas dan bersepadu dari peringkat tertinggi, negara dapat memastikan perlindungan yang menyeluruh dan berkesan bagi kanak-kanak.

Setiap lapisan tidak kira individu, keluarga, masyarakat, negara dan NGO perlu berganding bahu untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Hanya melalui tindakan bersepadu dan kesedaran yang tinggi, kita dapat membina persekitaran yang mana kanak-kanak boleh berkembang dengan selamat dan sejahtera.-UTUSAN

Masa depan negara bergantung kepada usaha kita hari ini untuk melindungi generasi yang akan datang.

NUR RASYIDAH ALZAWARIAH MOHD. RAUB
Pelajar Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan)
Fakulti Kepimpinan Dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN