SAUDARA PENGARANG,
KEJAYAAN sesebuah negara bergantung kepada kualiti pendidikan dan penguasaan teknologi.
Pendidikan yang berasaskan ilmu daripada pengalaman kerjaya dan pembelajaran formal perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran dan berdaya saing.
Sistem pendidikan formal memberikan individu kefahaman secara langsung dan melahirkan cendekiawan. Pendidikan daripada pengalaman kerjaya pula melahirkan individu yang kompeten, mahir dalam pengurusan dan pentadbiran selain mampu menangani risiko.
Justeru, pengetahuan yang diperoleh menerusi pendidikan formal dan pengalaman dalam bidang kerjaya penting untuk memastikan individu dapat memahami teras dan konsep sesuatu bidang beserta kemahiran dan keupayaan untuk menyelesaikan masalah.
Pengiktirafan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), ialah satu proses sistematik melibatkan pengenalpastian, pendokumentasian dan penilaian pembelajaran berdasarkan pengalaman terdahulu.
Secara umumnya, proses APEL melibatkan penilaian pembelajaran yang diperoleh melalui pelbagai kaedah termasuk pendidikan formal, pengalaman hidup dan kerjaya, latihan, aktiviti serta kerja kesukarelawanan dan sebagainya.
Di Malaysia, APEL diperkenalkan dan diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk menyediakan laluan kemasukan alternatif bagi meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
APEL menggalakkan individu untuk meningkatkan pengetahuan secara berterusan yang membawa kepada penganugerahan sijil kelayakan formal. Matlamatnya untuk memastikan peluang pendidikan dibuka kepada semua golongan dan peringkat umur, menyokong konsep pembelajaran sepanjang hayat.
Sistem pendidikan negara yang mengiktiraf pembelajaran daripada pengalaman terdahulu adalah sejajar dengan negara maju. United Kingdom mengiktiraf Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (RPL) melalui sistem National Vocational Qualifications (NVQ) dan Scottish Vocational Qualifications (SVQ). Proses ini, dikenali sebagai Accreditation of Prior Learning (APL), digunakan untuk memberikan pengiktirafan formal terhadap kemahiran dan pengetahuan melalui pengalaman kerjaya dan pembelajaran tidak formal.
Australia turut mengintegrasikan RPL ke dalam sistem pendidikan vokasional mereka melalui National Framework for the Recognition of Training. Ia membolehkan individu memperoleh pengiktirafan formal terhadap kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh di tempat kerja, yang seterusnya membantu mereka mendapatkan kelayakan formal.
APEL memberi motivasi kepada individu untuk meneruskan pengajian dan latihan di samping mengejar peluang kerjaya di peringkat yang lebih tinggi.
Ia membuktikan bahawa sistem pendidikan di Malaysia adalah berteraskan kepada prinsip keterbukaan dan menyeluruh bagi melahirkan generasi ilmuwan kompeten bertaraf global.-UTUSAN
DR. NORRAIDAH ABU HASAN
Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi
Institut Pendidikan Berterusan & Pengajian Profesional (iCEPS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)









