SAUDARA PENGARANG,
PERKATAAN rasuah berasal daripada perkataan Arab yang berbunyi al-risywah. Ia bermaksud memberi sesuatu sama ada dalam bentuk wang ringgit, harta benda, jawatan, perkhidmatan, janji manis dan sebagainya.
Selalunya, pemberian itu hadir dengan niat untuk mendapat balasan dan imbalan yang lebih besar dari orang-orang tertentu, sedangkan pada hakikat orang lain yang sepatutnya memiliki hak itu.
Disebabkan itu, pelajar-pelajar di negara ini perlu didedahkan dengan ilmu rasuah. Mereka perlu tahu tentang bahaya rasuah kerana golongan ini yang akan mewarisi negara ini dalam pelbagai sektor. Mereka juga perlu diberitahu dengan jelas tentang kesan amalan rasuah kepada negara.
Sampai bila ingin hidup seperti musang berbulu ayam. Lambat laun sampai masa kena juga. Ketika itu anda dan keluarga anda yang malu. Ini baharu hukum dunia, belum lagi hukuman di alam satu lagi.
Fikir fikirlah. Sesungguhnya niat tidak mungkin menghalalkan cara memilikinya. Justeru, amat penting untuk setiap daripada kita belajar dan cuba menjadi mukhlash.
Ini kerana hanya orang yang beriman peringkat mukhlash sahaja menolak rasuah dan kerja haram di zaman ini.
Belajarlah dengan guru agama yang bertauliah untuk memahami apa itu mukhlash. Anda akan faham rahsia mengapa rasuah dan judi haram di sisi Islam.-UTUSAN
IBNU ARASY DZIKRULLAH
Kepala Batas, Pulau Pinang










