Gaji naik produktiviti juga perlu meningkat

Gaji naik produktiviti juga perlu meningkat

KEWANGAN sektor awam disatukan, dijangka berkurangan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, 

BARU-BARU ini kerajaan mengumumkan pelarasan gaji lebih 13 peratus kepada pekerja sektor awam. Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyokong kesejahteraan pekerja dan mendorong kemakmuran ekonomi.

Selain itu, pelancaran Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan 2024-2030 juga merupakan inisiatif strategik dalam memastikan pembangunan modal insan yang berkualiti untuk memenuhi keperluan ekonomi negara.

Kenaikan gaji dan pelancaran kerangka dasar ini harus disambut baik oleh semua pihak. Seharusnya, kenaikan gaji berhubungan terus dengan peningkatan produktiviti. 

Pekerja sektor awam perlu meningkatkan produktiviti yang seterusnya menyumbang kepada penambahan daya saing perniagaan dan ekonomi negara. 

Perkara ini boleh berlaku dengan menjadikan kenaikan gaji sebagai satu sebab yang dapat meningkatkan motivasi dan kepuasan bekerja. Motivasi yang tinggi ditambah  dengan kepuasan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab boleh mempengaruhi prestasi agensi-agensi kerajaan. Hal ini akan menyokong usaha-usaha kerajaan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Selain motivasi, satu lagi aspek yang penting ialah dorongan kepada peningkatan idea dan inovasi. Ini dapat mendorong semangat inovasi dan kreativiti dalam mencari cara untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing.

Seterusnya, pelarasan gaji dapat memastikan sektor awam berada pada kelasnya yang tersendiri. Hal ini penting bagi menarik bakat-bakat baharu yang berkualiti ke dalam perkhidmatan awam. Ia secara langsung dapat meningkatkan kualiti yang seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan dan keunggulan perkhidmatan kerajaan.

Walau bagaimanapun, pelarasan gaji ini juga harus disambut dengan hati-hati kerana ia dikhuatiri memberi kesan buruk jika hanya dipandu oleh kuantiti output tanpa mengambil kira kualiti atau nilai tambah perkhidmatan. Lebih teruk lagi jika faktor-faktor penting seperti inovasi, kepuasan pelanggan dan kelestarian jangka panjang tidak dijadikan perkara penting yang diambil perhatian.

Dikhuartiri juga jika penumpuan keterlaluan kepada kenaikan gaji sebagai satu-satunya insentif boleh mengalihkan fokus daripada faktor-faktor lain yang penting. Justeru, ia perlu diimbangi dengan keberkesanan operasi, pengurusan kewangan yang baik dan strategi komunikasi yang efektif.

Langkah kerajaan menghargai peranan pekerja sebagai pemangkin utama kemajuan ekonomi dan pembangunan haruslah disambut positif oleh semua pihak, namun hasrat ini harus ditunjangi dengan pendekatan yang seimbang dan bersepadu.

Kenaikan gaji wajar disusuli dengan peningkatan produktiviti dan inovasi. Hal ini menjadi elemen penting dalam meningkatkan daya saing dan kejayaan jangka panjang perkhidmatan awam.-UTUSAN

PROFESOR DR. RAM AL JAFFRI SAAD

Penolong Naib Canselor Kolej Perniagaan dan merangkap Dekan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz  Universiti Utara Malaysia (TISSA-UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×