SAUDARA PENGARANG,
PENINGKATAN gaji bagi penjawat awam membawa tanggungjawab tambahan untuk mengurus kewangan dengan bijak.
Apabila gaji seorang penjawat awam naik, ia sepatutnya memberikan ruang yang lebih luas untuk menabung dan melabur, bukannya membebani diri dengan hutang. Realitinya, apabila hutang bertambah, sebahagian besar dari gaji yang diperoleh terpaksa digunakan untuk membayar balik pinjaman. Ini seterusnya meninggalkan hanya sedikit wang untuk kegunaan harian. Situasi ini boleh mengurangkan kualiti dan menambah tekanan hidup.
Dengan pendapatan yang terhad dan tanggungan hutang yang tinggi, motivasi untuk bekerja boleh terjejas. Penjawat awam mungkin merasa beban kerja yang tidak setanding dengan pendapatan yang diterima. Ini boleh menyebabkan penurunan produktiviti kerja, yang pada akhirnya merugikan individu dan juga organisasi yang mereka wakili.
Lebih parah lagi, apabila seseorang itu terlalu banyak hutang, mereka mungkin terpaksa mencari sumber pendapatan tambahan. Ini boleh menyebabkan mereka melakukan kerja sampingan yang mungkin mengganggu tugas utama.
Untuk mengelakkan situasi ini, beberapa langkah boleh diambil. Antaranya menyemak dan merancang semula bajet bulanan. Pastikan pengeluaran tidak melebihi kemampuan walaupun pendapatan sudah bertambah. Rancang pengurusan hutang dan elakkan mengambil hutang baharu tanpa keperluan yang sah.
Gunakan sebahagian daripada wang itu untuk pelaburan atau simpanan jangka panjang.
Penjawat awam harus meningkatkan kefahaman tentang pengurusan kewangan. Menghadiri kursus atau bengkel pengurusan kewangan boleh membantu dalam memahami asas pengurusan kewangan yang baik dan kepentingan menjaga rekod kewangan yang sihat.
Pertimbangkan untuk mendapatkan nasihat kewangan profesional dan tentang perlindungan insurans. Ini adalah aspek penting yang sering diabaikan. Insurans boleh membantu melindungi anda dan keluarga dari implikasi kewangan akibat daripada kejadian yang tidak dijangka, seperti penyakit atau kecelakaan.
Wujudkan matlamat kewangan jangka panjang termasuk membeli rumah, pendidikan anak-anak atau persaraan dan lain-lain.
Dengan mengambil langkah-langkah proaktif, ia akanmembawa manfaat jangka panjang dan bukan hanya kesenangan sementara yang menyebabkan lebih banyak masalah di masa depan.-UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Parit Sulong, Johor










