SAUDARA PENGARANG,
INTEGRITI dan tatakelola yang baik merupakan asas penting dalam memastikan kestabilan dan kemakmuran masyarakat Malaysia Madani. Kedua-dua nilai ini membentuk landasan yang kukuh untuk pembangunan yang berkesan dan mampan. Apabila sesebuah masyarakat mengamalkan integriti dan tatakelola yang baik, ia akan memberikan manfaat kepada setiap individu dan keseluruhan komuniti.
Integriti sebagai Landasan Utama
Integriti merujuk kepada kejujuran diri dan amalan moral yang konsisten. Dalam konteks masyarakat, integriti melibatkan tindakan yang bersih dari rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Budaya integriti yang kukuh membawa kepada keyakinan dalam institusi dan pemimpin, serta membentuk asas yang stabil untuk pertumbuhan ekonomi dan sosial.
Integriti juga berkait rapat dengan kepercayaan suasana yang kondusif untuk kerjasama, perkongsian maklumat dan inovasi terbina hasil keyakinan tinggi masyarakat terhadap integriti institusi dan individu. Kepercayaan yang kukuh merupakan asas kepada hubungan antara masyarakat, kerajaan dan sektor swasta.
Tatakelola yang Baik sebagai Penyokong Integriti
Tatakelola yang baik membawa kepada pengurusan yang berkesan dan bertanggungjawab dalam sesuatu organisasi dan negara. Ia merangkumi proses, struktur dan amalan yang memastikan keadilan, ketelusan dan keberkesanan. Dalam konteks kerajaan, tatakelola yang baik merujuk kepada cara dan kaedah kerajaan menjalankan fungsi urusan awam termasuk proses pembuatan keputusan dan pengurusan sumber.
Penglibatan awam dalam proses pembuatan keputusan adalah ciri penting tatakelola yang baik. Apabila rakyat merasa bahawa mereka mempunyai akses kepada maklumat yang mencukupi dan peluang untuk menyuarakan pendapat mereka, ia membentuk sebuah masyarakat yang lebih berdaya dan bertanggungjawab. Selain itu, akauntabiliti juga merupakan elemen penting dalam tatakelola yang baik. Institusi dan individu yang bertanggungjawab akan memastikan bahawa tindakan mereka selari dengan undang-undang dan prinsip moral masyarakat.
Menanam Budaya Integriti dan Tatakelola yang Baik
Dalam memastikan pembudayaan integriti dan tatakelola yang baik, pendekatan yang menyeluruh perlu diambil. Pendidikan awam dan kesedaran perlu ditingkatkan untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan integriti dan tatakelola yang baik. Sekolah dan institusi pendidikan perlu memasukkan nilai-nilai ini ke dalam kurikulum mereka dan kempen kesedaran awam perlu dianjurkan secara kerap untuk menyebarkan mesej ini kepada masyarakat.
Selain itu, pentadbiran yang telus dan cekap perlu diterapkan di semua peringkat, dari peringkat tempatan sehingga ke peringkat nasional. Langkah-langkah pencegahan rasuah, pelaporan penyelewengan dan perlindungan whistleblower adalah penting untuk menggalakkan amalan integriti dan tatakelola yang baik.
Integriti dan tatakelola yang baik membentuk landasan yang penting bagi kemajuan dan kesejahteraan masyarakat Malaysia Madani. Budaya integriti dan tatakelola yang baik memerlukan usaha berterusan dari semua pihak, termasuk institusi kerajaan, sektor swasta, masyarakat awam dan individu. Dengan mengamalkan nilai-nilai ini, masyarakat dapat mencapai kemajuan yang mampan dan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada generasi akan datang. – UTUSAN
AMAL AKMAL AZIZ
Penolong Setiausaha (Sub Unit Tadbir Urus)
Unit lntegriti, Kementerian Kewangan










