Bertindak bijak bila boikot jenama

Bertindak bijak bila boikot jenama

KEMPEN boikot harus dilakukan secara bijak dan tidak melakukan tindakan keganasan yang boleh memudaratkan orang lain. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MESKIPUN rakyat Malaysia menyokong isu boikot terhadap barangan Israel, namun perlu diketahui bahawa masyarakat juga perlu bertindak bijak dalam memboikot jenama yang mempunyai hubungan dengan Israel. Masih terdapat segelintir masyarakat yang memboikot secara “membabi buta” tanpa membuat kajian terhadap syarkat tersebut. Mereka juga tidak menyedari boikot tanpa usul periksa mendatangkan kemudaratan kepada ratusan ribu pekerja di negara ini yang berdepan risiko kehilangan pekerjaan sedangkan syarikat tidak berhubungan dengan Israel.

Kempen boikot harus dilakukan secara bijak dan tidak melakukan tindakan keganasan yang boleh memudaratkan orang lain. Mereka sekadar mencari rezeki. Mensabotaj dengan merosakkan infrastruktur atau mengambil gambar pelanggan yang sedang makan dan menularkannya ke media sosial dengan tujuan menjatuhkan imej termasuk dalam tindakan ekstrem.

Masyarakat perlu memastikan maklumat yang menjadi dasar boikot adalah benar dan tidak berdasarkan maklumat yang tidak tepat atau khabar angin. Boikot yang berdasarkan maklumat yang salah boleh mengurangkan kredibiliti gerakan tersebut dan menyebabkan ketidakadilan.

Lantaran itu, boikot secara berhemah dan bijak adalah penting untuk memastikan tindakan tersebut memberikan kesan positif tanpa menimbulkan kesan negatif yang tidak diingini. Boikot yang dilakukan dengan penuh pertimbangan dan penelitian dapat mencapai tujuan yang diinginkan.

Dalam konteks Islam juga, boikot yang dilakukan dengan mengikut prinsip syariah dan tanpa melibatkan unsur keganasan atau ketidakstabilan adalah satu bentuk amal kebajikan. Allah memerintahkan manusia saling membantu sesama manusia.

Boikot antara bentuk jihad harta dengan tidak membeli barangan keluaran pihak musuh atau yang menyokongnya. Setiap orang hendaklah berjihad dengan kadar kemampuan masing-masing. – UTUSAN

NUR RASYIDAH ALZAWARIAH MOHD. RAUB
Pelajar Sarjana Muda Komunikasi
(Kewartawanan) Universiti Sains Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN