Banyak manfaat jika sambung pelajaran di institusi pengajian tinggi

Banyak manfaat jika sambung pelajaran di institusi pengajian tinggi

TUJUAN menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) bukan sahaja dapat membentuk diri menjadi insan berkualiti tetapi dapat memberi impak positif kepada masyarakat dan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RAMAI pelajar di Malaysia mengalami kekeliruan tentang tujuan menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka sering menganggap menyambung pelajaran ke IPT hanyalah tindakan mengikut trend semata-mata atau demi memenuhi jangkaan sosial.

Walau bagaimanapun, tujuan menyambung pelajaran sebenarnya membawa tujuan yang lebih mendalam iaitu untuk membentuk diri menjadi insan berkualiti yang dapat memberi impak positif kepada masyarakat dan negara.

Tujuan sebenar menyambung pelajaran ke IPT adalah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang mendalam dalam bidang yang diminati. Pelajar akan diajar oleh pakar dalam bidang masing-masing dan diberi peluang untuk mengembangkan kepakaran serta kebolehan. Dengan memiliki pengetahuan yang luas dan mendalam, mereka mampu memberi sumbangan yang lebih bermakna kepada masyarakat dan negara pada masa akan datang.

Selain daripada itu, ia juga bertujuan memupuk kemahiran berfikir kritis dan analitikal. Di IPT, pelajar akan diajar untuk tidak sekadar menerima maklumat secara pasif tetapi juga untuk mencari, menganalisis dan menilai maklumat tersebut. Kemahiran ini penting untuk membantu membuat keputusan yang bijak dalam kehidupan seharian dan profesional kelak.

Menyambung pelajaran juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran sosial. Mereka akan berinteraksi dengan pelajar dari latar belakang yang berbeza dan ini dapat membantu mereka memahami serta menghormati perbezaan budaya dan pandangan. Kemahiran ini amat penting dalam masyarakat yang semakin global dengan kebolehan berkomunikasi dan bekerjasama dengan pelbagai lapisan masyarakat menjadi satu keperluan.

Banyak lagi manfaat menyambung pelajaran ke IPT seperti membentuk insan yang berintegriti dan bertanggungjawab, membentuk insan yang kreatif dan inovatif, yang mampu menghadapi cabaran serta menyelesaikan masalah dengan bijak, berdaya tahan dan adaptif terhadap perubahan.

Menyambung pelajaran ke IPT sebenarnya membawa banyak manfaat dan tujuan yang lebih mendalam daripada sekadar mendapatkan ijazah. Ia membentuk diri menjadi insan yang berkualiti, kompetitif, bertanggungjawab, kreatif dan adaptif.

Dengan memiliki pelbagai kemahiran dan nilai-nilai positif, kita akan menjadi individu yang lebih yakin serta bersedia untuk meneruskan kehidupan selain memberi impak positif kepada masyarakat dan negara.-UTUSAN

AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Alam Impian, Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×