SAUDARA PENGARANG,
ADA yang berpendapat wartawan bukanlah sebuah kerjaya yang begitu relevan pada era media sosial kini. Dengan kehadiran media sosial, semua warga maya boleh menjadi seorang wartawan untuk menyebarkan sesebuah khabar atau berita pada saat ia berlaku dengan lebih cepat dan berterusan, serta dari pelbagai sudut pandang berbeza, tanpa perlu menunggu kehadiran seorang wartawan sebenar untuk melaporkannya.
Namun, peranan wartawan dianggap semakin penting dalam landskap media yang sedang pesat berubah ini. Mereka memainkan peranan yang besar khususnya bagi bekerjasama dengan warga maya dalam proses pengumpulan maklumat tentang sesuatu kejadian.
Rakaman-rakaman percakapan saksi kejadian, foto, video serta kandungan lain yang dijana oleh pengguna media sosial dapat mereka gunakan bagi memperkayakan laporan berita sambil menawarkan paparan berita yang lebih komprehensif.
Pendekatan kolaboratif sebegini bukan sahaja meningkatkan kualiti kewartawanan mereka tetapi juga mendemokrasikan proses pengumpulan berita dan menjadikan ia lebih terbuka.
Wartawan juga boleh memantau topik-topik yang sedang sohor kini di media sosial. Wartawan juga dapat melihat sentimen orang ramai terhadap sesuatu perkara serta arah pemikiran mereka.
Ini dapat membantu wartawan untuk lebih cakna tentang sesuatu isu dan membolehkan mereka menyesuaikan laporan mereka dengan sewajarnya. Ia juga membantu wartawan dalam mengenal pasti sisi-sisi baharu kepada sesuatu kejadian yang mungkin tidak disedari oleh mereka sebelum ini.
Lebih menarik lagi, mereka boleh menggunakan platform media sosial untuk menyokong isu-isu tertentu sambil meningkatkan kesedaran awam mengenai hal-hal tersebut dan membentuk pendapat umum mengenainya.
Paling penting sekali, dalam era yang dicemari dengan penyebaran berita palsu dan maklumat salah, wartawan mesti mengambil peranan yang kritikal untuk menyemak fakta dan memberikan respon kepada maklumat yang tidak tepat.
Ini pastilah tidak dapat dilakukan oleh mana-mana aplikasi media sosial atau kecerdasan buatan (AI). Platform media sosial pada hari ini adalah ibarat sebuah medan pertempuran untuk maklumat yang tepat dan wartawan mesti menggunakan ruang ini untuk menangani dan membetulkan ketidaktepatan maklumat dengan cepat.
Wartawan perlulah memberikan konteks sebenar kepada sesuatu maklumat yang disebarkan. Dengan akses dan kredibiliti yang mereka ada, wartawan juga boleh mendapatkan respon tentang letak-duduk sesuatu isu secara terus daripada pihak-pihak berkaitan yang mungkin tidak dapat dijangkau oleh warga maya.
Pada masa sama, mereka juga mesti terus bersifat objektif dan menampilkan laporan yang berimbang. Kewaspadaan sebegini amatlah dihargai dalam membantu untuk mengekalkan integriti sesebuah maklumat di ruang awam. Ia juga dapat mengurangkan kegusaran orang ramai sambil mengurangkan ketegangan sesuatu isu yang bersifat sensitif.
Benar, era media sosial mungkin telah mengubah cara kerja seseorang wartawan dan bagaimana khalayak memandang mereka. Namun, peranan mereka tidak pernah berubah. Malah, ia menjadi lebih kritikal dan berimpak.
Diharapkan para wartawan dapat menyesuaikan diri mereka dan memanfaatkan kuasa media sosial untuk menjadikan dunia lebih baik dan warganya lebih pintar dan bermaklumat. Selamat Hari Wartawan Nasional diucapkan untuk semua wartawan di Malaysia.-UTUSAN
MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK
Pensyarah Kanan,
Akademi Pengajian Bahasa
UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar










