SAUDARA PENGARANG,
CADANGAN penstrukturan semula pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), syarikat pengendali lapangan terbang negara wajar diterima dengan hati terbuka.
Cadangan oleh konsortium yang dipimpin oleh Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah langkah yang dialu-alukan dan saya berharap ia akan menjadi kenyataan.
Saya yakin konsortium terbabit dengan gabungan tenaga pakar yang ada mampu melaksanakan pelan pemulihan, meningkat dan memodenkan rangkaian lapangan terbang serta operasi MAHB, melonjakkan mutu perkhidmatan pelanggan serta hubungan penerbangan dan merangsang pertumbuhan penumpang serta kargo.
Bukan untuk merendahkan aset strategik negara sendiri, namun mereka yang pernah berurusan di lapangan terbang kita pasti sedar dengan situasi semasa di pintu keluar masuk utama yang paling penting ke Malaysia itu.
Banyak penambahbaikan diperlukan, dari sekecil-kecil isu teksi, masalah pendingin hawa dan tandas di lapangan terbang negeri sehinggalah khidmat aerotren antara bangunan utama dan bangunan satelit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang sudah lama digantung, iaitu sejak Mac tahun lalu kerana kerap rosak.
Fakta juga bahawa KLIA berada dalam senarai lapangan terbang terburuk kelapan di Asia seperti dirumuskan dalam laporan oleh Perniagaan Kewangan pada Februari lalu yang membuat penilaian secara purata daripada pengembara perniagaan untuk menentukan kedudukan lapangan terbang secara global mengikut benua dan negara.
Dalam tempoh 23 tahun, kedudukan KLIA merudum selepas dinobatkan sebagai lapangan terbaik kedua di dunia pada 2001 dan dilaporkan hanya mencatatkan 76 peratus trafik udara berbanding purata 94 peratus di peringkat global dan 86 peratus di rantau Asia Pasifik, malah lebih rendah berbanding Manila yang merekodkan 95 peratus, Singapura (86 peratus) dan Bangkok (79 peratus).
Kita tidak mahu kedudukan KLIA terus merudum selepas turun daripada kedudukan 68 kepada 71 dalam senarai Lapangan Terbang Terbaik Dunia Skytrax 2024, hasil tinjauan pendapat dikumpul antara Ogos 2023 hingga Mac 2024 daripada pengembara 100 negara.
Pastinya juga kita tidak mahu lebih jauh ditinggalkan negara jiran yang lapangan terbangnya di Jakarta melonjak 15 anak tangga daripada 43 kepada 28, apatah lagi Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura yang saban tahun bersaing merebut gelaran terbaik.
Sekarang adalah masanya untuk KLIA kembali menjadi sebutan dunia, tidak harus kita menunggu kerajaan bertukar ganti lagi, menteri pengangkutan dan pengurusan kanan MAHB datang dan pergi dengan meninggalkan pelbagai janji.
Kita mahu melihat penarafan terbaik untuk lapangan terbang Malaysia dalam senarai oleh Skytrax. Kita juga mahu keyakinan, kepercayaan dan kepuasan pengguna kembali mengukuh, bukannya terus merosot.
Untuk itu, wajar kita bersikap terbuka dan memberi peluang kepada yang pakar walaupun warga asing datang membantu mencapai matlamat itu kerana rekod dan latar belakang mereka sudah membuktikannya.
Ingat juga jaminan Menteri Pengangkutan kita, MAHB bukan dijual, sebaliknya Khazanah Nasional dan KWSP meningkatkan lagi pegangan sahamnya dalam syarikat yang menjadi antara pengendali lapangan terbang terbesar di dunia itu.-UTUSAN
SYED RAHMAN SYED RAHIM
Kuala Lumpur










