SAUDARA PENGARANG,
MENGAMBIL kira keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup pada ketika ini, pemimpin negara dan semua pegawai kerajaan tidak perlu membuang masa, tenaga dan duit untuk mengembara ke luar negara semata–mata untuk bertemu atau bermesyuarat dengan mana–mana pihak secara semuka.
Dengan pelbagai kemudahan teknologi pada ketika ini, proses perbincangan dan mesyuarat boleh dilakukan dengan mudah melalui secara dalam talian. Cara ini sudah berjaya diamalkan selama dua tahun ketika seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19 sekitar 2020 dan 2023.
Pada tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengadakan proses perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan SpaceX, Elon Musk secara dalam talian. Ini sepatutnya dijadikan sebagai contoh pada semua pemimpin tertinggi dan pegawai kerajaan.
Sudah sampai masanya, semua pihak mengamalkan budaya berjimat cermat serta bijaksana dalam menjalankan segala tugas dan tanggungjawab hakiki dan ini harus dimulakan oleh semua pemimpin tertinggi dan pegawai kerajaan dalam negara memandangkan mereka menjadi contoh teladan yang baik kepada rakyat.
Perlu diingatkan, pada tahun lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali juga menyarankan dan meminta semua jabatan kerajaan untuk mengamalkan proses berjimat cermat. Menurut beliau, bagi memastikan perbelanjaan kerajaan dibuat secara optimum, penganjuran acara, majlis, keraian rasmi kerajaan, mesyuarat, seminar dan bengkel, dihadkan bagi program yang benar-benar perlu sahaja. Perkara itu dinyatakan dalam surat edaran Arahan Kawalan Perbelanjaan Awam Kementerian/Jabatan kepada semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan dan agensi kerajaan bertarikh 18 Oktober 2023.
Ketua Setiausaha Negara turut menyarankan penganjuran acara atau majlis berkenaan dibuat di premis atau Institusi Latihan Awam (ILA). Mesyuarat pula digalakkan diadakan secara dalam talian atau persidangan video, bagi mengurangkan perbelanjaan logistik, mengoptimumkan masa dan perbelanjaan ke atas tuntutan perbelanjaan.
Pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu memantau segala saranan dan arahan yang dikeluarkan ini bagi memastikan wang rakyat tidak dibazirkan untuk melaksanakan sebarang program atau aktiviti yang tidak membawa sebarang faedah. Wang rakyat tidak seharusnya dibelanjakan dengan sewenang-wenangnya.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










