TERENGGANU merupakan sebuah negeri yang terletak di pantai timur semenanjung Malaysia, tidak hanya dikenali dengan keindahan alam semula jadi dan budaya tradisionalnya, tetapi juga sebagai hub sukan kapal layar yang berprestij.
Sukan ini bukan sahaja memberi peluang rekreasi kepada penduduk tempatan dan pelancong, tetapi juga membawa limpahan ekonomi yang signifikan kepada negeri yang menjadi jolokan sebagai ‘negeri cantik, orangnya baik-baik’.
Antara faktor utama yang menjadikan Terengganu sebagai destinasi utama untuk sukan kapal layar adalah keadaan geografinya. Terengganu memiliki garis pantai yang panjang dengan air laut yang jernih dan tiupan angin yang konsisten, menjadikannya ideal untuk kegiatan sukan layar. Tumpuan tidak hanya bertumpu di kawasan tanah besar, malah pengunjung turut berpeluang mengalami pengalaman sendiri meneroka keindahan serta keajaiban ‘Terengganu bawah laut’ di pulau-pulau seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol yang terkenal dengan penganjuran acara kapal layar bertaraf antarabangsa seperti Piala Monsun. Acara ini menjadi salah satu pertandingan kapal layar yang paling dinantikan di dunia. Piala Monsun merupakan sukan ketiga yang menjadi tumpuan dunia di Malaysia ketika era kegemilangannya kira-kira 20 tahun lalu.
Ia menarik peserta dari pelbagai negara dan disiarkan secara meluas di media antarabangsa, menjulang nama Terengganu di mata dunia. Kehadiran pelayar profesional dan penonton dari pelusuk dunia membawa limpahan ekonomi yang menguntungkan masyarakat melalui permintaan penginapan, makanan, pengangkutan, fasiliti, hospitaliti dan perkhidmatan tempatan.
Sumbangan pihak kerajaan dalam mengilhamkan acara berprestij itu wajar mendapat pujian. Hasil cetusan idea bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam merangka pelan pembangunan negeri Terengganu bagi memastikan limpahan ekonomi dinikmati oleh segenap rakyat Terengganu sepanjang tahun tanpa perlu ‘mengikat perut’ setiap kali tibanya musim monsun.
Melabuhkan tirai buat kali terakhir pada 2012 dengan pertarungan sengit dari 12 pasukan layar terbaik dunia ketika itu, namun Universiti Malaysia Terengganu (UMT) masih meneruskan legasi sukan layar yang telah sebati dengan masyarakat negeri yang terkenal dengan penyu itu.
Pasukan pelayar UMT telah berjaya mendapat tempat pertama dalam penganjuran Kingdom Match and Fleet Race (Bahrain) dan tempat ketiga dalam penyertaan One Design Platu World Championship (Thailand) pada tahun lalu.
Mereka turut mendapat penghargaan apabila dijemput bagi mewakili Malaysia untuk menyertai penganjuran kejohanan FISU World University Championship di Itali pada 4 hingga 11 Jun 2024 nanti.
Enam pelajar yang akan mewakili UMT ke kejohanan tersebut ialah Nur Muhammad Aqil Nadzri, 21, Mohamad Hanif Mohd Shafiee, 20; Nur Zulaikha Mohd Zafarin, 21; Nur Sofea Balqis Kamal Azalan, 21; Nur Ainul Izzati Zil Husham, 23, dan Muhammad Faris Aiman Basri, 22 bagi memberi saingan kepada 16 pasukan termasuk Amerika, Belanda, Ireland, Jerman, Jepun, China dan Perancis yang semenangnya memiliki kekuatan tersendiri.-UTUSAN
AMIRUL SALAM HASAN
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu










