SAUDARA PENGARANG,
ANTARA tuntutan yang sangat dituntut ialah berpuasa enam hari di bulan Syawal. Puasa enam hari di bulan Syawal memberikan pahala yang besar.
Diriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Ansari bahawa Rasulullah pernah bersabda: “Barang siapa yang berpuasa penuh di bulan Ramadan lalu melanjutkan dengan puasa enam hari di bulan Syawal, nescaya akan mendapatkan pahala seolah-olah dia telah berpuasa setahun penuh” – Riwayat Muslim.
Setiap satu amalan kebajikan itu dibalas dengan 10 ganjaran. Jika kita berpuasa satu hari, maka ganjarannya umpama berpuasa selama 10 hari.
Berdasarkan perkiraan ini, jika kita berpuasa selama 30 hari di bulan Ramadan misalnya, maka kita seolah-olah telah berpuasa selama 300 hari. Lalu ditambah pula enam hari di bulan Syawal yang mana menyamai 60 hari ganjarannya, maka jumlah keseluruhan ganjaran pahala puasa seolah-olah setahun penuh iaitu 360 hari.
Maka jelaslah kepada kita bahawa orang yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal ganjarannya amatlah besar.
Selain itu, banyak hikmah yang mungkin kita dapat petik dari amalan mengikuti sunnah Nabi Muhammad untuk berpuasa enam hari di bulan Syawal selepas bulan Ramadan.
Dengan kesempatan berbaki beberapa hari sahaja lagi di bulan Syawal, ayuh sama-sama kita menanam tekad dan azam untuk menyempurnakan tuntutan ini. Jika sekiranya kita tiada jemputan untuk dipenuhi pada hari-hari tertentu dalam bulan Syawal ini, adalah sangat dianjurkan untuk meneruskan dengan berpuasa enam sebagaimana yang disebut oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad. Semoga kita menjadi hamba Allah yang bertakwa dan semoga segala amal ibadah kita diterima-Nya dan dimasukkan ke dalam Syurga ar-Rayyan.-UTUSAN
ABDUL HADI ABD AZIZ
Jabatan Bahasa Antarabangsa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)









