PENYERTAAN dalam aktiviti sukan di sekolah merupakan aspek penting dalam pembangunan holistik pelajar. Namun demikian, pendekatan penyertaan ini haruslah mengikut minat dan kebolehan setiap individu.
Setiap pelajar perlu diberi peluang untuk menyertai aktiviti mengikut minat demi meningkatkan motivasi dan pencapaian dalam bidang sukan.
Adalah tidak wajar jika setiap pelajar dipaksa menyertai aktiviti sukan yang tidak menarik minat mereka. Oleh itu, adalah lebih sesuai jika pelajar diberi pilihan untuk menyertai aktiviti yang mereka gemari.
Sebagai contoh, pelajar yang berminat dalam sukan larian boleh memilih untuk menyertai lari jarak dekat atau jarak sederhana, manakala pelajar yang berminat dalam sukan lempar boleh memilih untuk merejam lembing atau melempar cakera.
Bukanlah menjadi keperluan untuk semua pelajar wajib menyertai aktiviti sukan yang sama seperti merentas desa. Sebaliknya, adalah lebih realistik jika hanya sebahagian kecil pelajar yang menyertai aktiviti tersebut. Selebihnya, pelajar boleh menyertai pelbagai jenis sukan seperti bola sepak, bola tampar, sepak takraw, hoki dan sebagainya sesuai dengan minat dan kebolehan masing-masing.
Pendekatan ini tidak hanya membantu mengurangkan tekanan dan stres dalam kalangan pelajar tetapi juga membolehkan pihak sekolah mengenal pasti bakat-bakat sukan yang cemerlang.
Dengan cara ini, sekolah dapat memilih wakil sekolah yang terbaik untuk melangkah ke peringkat seterusnya dengan lebih tepat dan berkesan.
Adalah penting untuk menghindari penyelenggaraan aktiviti sukan sekadar untuk memenuhi arahan dan jadual sukan sekolah tanpa matlamat yang jelas. Matlamat yang jelas perlu ditetapkan bagi setiap aktiviti sukan yang dijalankan agar dapat memberi impak yang positif terhadap perkembangan pelajar dari segi fizikal, mental dan emosi.
Dengan demikian, penyertaan pelajar dalam aktiviti sukan di sekolah akan memberi manfaat yang optimum kepada perkembangan keseluruhan pelajar.-UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Konsultan Program Sekolah Irfan, Pahang










