SAUDARA PENGARANG,
SETIAP bidang ilmu mempunyai segolongan orang yang mempunyai kepakaran, kemahiran atau arif dalam ilmu tersebut.
Mereka dihormati kerana memiliki kepakaran dan pengetahuan mendalam dalam bidang masing-masing hingga mempunyai kedudukan penting dalam membina masyarakat.
Namun yang menjadi isu apabila mereka yang dirujuk sebagai pakar oleh masyarakat, hilang integriti ketika menunggang ilmu untuk mencapai kepentingan tertentu.
Keadaan ini boleh terjadi apabila pihak ini mengeluarkan kenyataan yang salah atau bertentangan daripada prinsip dan tanggungjawab mereka hingga membawa implikasi serius yang boleh memudaratkan banyak pihak.
Isu kedua pula apabila masyarakat sering menganggap seseorang itu pakar dalam sesuatu bidang hanya kerana kedudukan, pengaruh atau populariti mereka tanpa menilai kredibiliti sebenar kepakaran tersebut.
Sikap ini boleh mendatangkan bahaya apabila pandangan yang dikeluarkan oleh ‘pakar’ tersebut menyeleweng daripada fakta dan kebenaran.
Justeru, perlu ada sikap terbuka dan sentiasa bersedia untuk menilai semula pandangan yang diterima, sekiranya terdapat bukti dan hujah yang lebih kukuh. Ilmu itu sentiasa berkembang dan individu perlu bersedia untuk memperbaharui pandangannya.
Sehubungan itu, perlu diakui perbezaan pandangan adalah perkara semula jadi dan seharusnya diraikan dengan baik.
Perbezaan pandangan sering timbul disebabkan oleh perbezaan latar belakang, pengalaman hidup dan sudut pandangan seseorang terhadap sesuatu isu. Ia bukan bermaksud salah satu pandangan itu betul dan yang lain salah.
Sebaliknya, ia menunjukkan kepelbagaian cara berfikir yang wujud dalam masyarakat kita. Perbezaan ini seharusnya dihargai kerana ia dapat mewujudkan perbincangan dan perdebatan yang sihat serta membuka minda kepada perspektif baharu.
Walau bagaimanapun, pandangan yang jelas terpesong daripada kebenaran dan fakta tidak boleh diterima begitu sahaja.
Ia perlu dipertikaikan dan diperbetulkan, lebih-lebih lagi jika pandangan tersebut datang daripada mereka yang berpengaruh dan dianggap pakar dalam sesuatu bidang seperti saintis, guru dan sebagainya.
Kedudukan dan pengaruh membuatkan pandangan salah mereka berpotensi menyesatkan masyarakat dan terperosok dalam kejahilan.
Seperti pepatah Melayu, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” pandangan salah yang dibiarkan berterusan berpotensi membawa kemudaratan dan kerosakan yang lebih besar dalam masyarakat.
Kita mempunyai tanggungjawab untuk menegur dan membetulkan pandangan tersebut dengan menggunakan fakta dan bukti yang sahih.
Kepercayaan dan penghormatan masyarakat terhadap golongan yang mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang ilmu amat penting. Namun, ia tidak seharusnya diberikan secara membuta tuli tanpa melihat kepada integriti dan kredibiliti mereka dalam menyampaikan ilmu.
Sebagai masyarakat yang berilmu dan beradab, kita perlu bijak membezakan antara pandangan yang munasabah dengan yang jelas menyeleweng daripada kebenaran dan fakta.
Bersedialah untuk menilai semula sesuatu pandangan sekiranya terdapat bukti dan hujah yang lebih kukuh. Ilmu itu sentiasa berkembang dan kita perlu bersedia untuk memperbaharui pemahaman.
Dengan cara ini, kita dapat memelihara kehormatan dan kemuliaan ilmu serta menjadikannya sumber pencerahan kepada kehidupan manusia dan bukan sebaliknya.
Perkara ini memerlukan usaha bersama daripada semua pihak untuk mendaulatkan kebenaran serta menginsafi had-had keilmuan masing-masing.-UTUSAN
BASMIN MAAROF
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat Pertubuhan IKRAM Malaysia










