Patut gaji penjawat awam naik sehingga 25 peratus

Patut gaji penjawat awam naik sehingga 25 peratus

KENAIKAN gaji yang munasabah adalah 25 peratus memandangkan rakyat berdepan kos sara hidup tinggi serta ketidaktentuan ekonomi. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KENAIKAN gaji lebih 13 peratus yang bakal dinikmati oleh penjawat awam pada 1 Disember ini dilihat tidak memadai dan mencukupi untuk meringankan beban kewangan bagi berdepan peningkatan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi sebaliknya kerjaan wajar mempertimbangkan untuk kenaikan sebanyak 25 peratus.

Disamping peningkatan kadar gaji, kerajaan juga perlu mengambil beberapa inisiatif seperti menaikan jumlah elaun. Perlu diingatkan, sekiranya jumlah pendapatan naik, maka, jumlah cukai yang perlu dibayar kelak juga akan naik, jadi apa kesudahannya? Mereka terpaksa melakukan kerja sampingan untuk mencari pendapatan tambahan bagi menampung kehidupan harian.

Pada masa yang sama, harga barangan dan perkhidmatan juga akan naik, ini sekali gus menjadikan kenaikan gaji tidak membawa sebarang makna yang besar.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus memainkan peranan dengan menguatkuasakan segala peruntukkan undang–undang sedia ada bagi membendung mana–mana pihak yang tidak bertanggungjawab dengan mengambil peluang atau kesempatan dari pengumuman kenaikan gaji. Pihak berkuasa tempatan perlu memastikan harga barangan serta perkhidmatan sentiasa berada dalam kawalan.

Aktiviti menaikan harga barangan dan perkhidmatan secara tidak munasabah tergolong dalam aktiviti mencatut. Aktiviti pencatutan berlaku apabila peniaga dikesan menaikan peratusan keuntungan melebihi asas yang ditetapkan bagi tahun semasa. Pihak yang didapati bersalah, boleh dikenakan denda maksimum serta hukuman penjara.

Semua pihak perlu memainkan peranan masing–masing bagi membantu rakyat dalam menghadapi suasana ekonomi semasa masa kini. Pihak kerajaan perlu mempergiatkan lagi usaha bagi mencari jalan untuk meringankan beban rakyat dengan memperkenalkan lebih banyak langkah–langkah proaktif dan kreatif ke arah usaha bagi meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat.

Para pemimpin dan ahli politik harus rajin untuk turun ke padang serta menanyakan masalah yang dihadapi oleh rakyat. Mereka juga harus mengambil tindakan terhadap setiap aduan yang diterima serta membantu rakyat dengan sedaya-upaya.

Begitu juga dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan penting bagi membantu meringankan beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat.-UTUSAN

Profesor Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN