Memperkasa penjagaan gigi individu autistik dewasa

Memperkasa penjagaan gigi individu autistik dewasa

KLINIK pakar pergigian swasta memulakan inisiatif bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif sesuai dengan keperluan khas untuk autisme dewasa.– GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KESEDARAN tentang cabaran unik yang dihadapi oleh individu dengan autisme dalam penjagaan pergigian semakin meningkat, terutamanya dengan peningkatan usia mereka.

Sebahagian daripada penjagaan pergigian individu autisme ialah mendapatkan pemeriksaan pergigian secara berskala daripada doktor gigi. Ini boleh menjadi pengalaman yang menakutkan bagi sesiapa sahaja, tetapi bagi individu autisme dan penjaga mereka, lawatan ke doktor gigi boleh menjadi pengalaman yang sangat mencabar.

Walaupun orang dewasa autisme berkemungkinan sudah terdedah kepada rawatan pergigian beberapa kali dalam hidup mereka, ini tidak menjadikan mereka merasa kurang tertekan. Langkah-langkah perlu diambil secara berterusan untuk mengurangkan kebimbangan mereka dan membantu individu autisme mengatasi ketakutan yang dialami dan juga memastikan mereka dalam keadaan selesa sepanjang sesi pemeriksaan dan rawatan dijalankan.

Ada beberapa sebab mengapa individu autisme sering merasa tertekan ketika lawatan ke klinik pergigian, antaranya ialah kerana mereka tidak memahami kepentingan pemeriksaan pergigian untuk memastikan gigi dan gusi mereka dalam keadaan yang sihat. Berbaring di kerusi dengan lampu terang dan peralatan di dalam mulut bukanlah suatu pengalaman yang menyeronokkan bagi mereka.

Hipersensitiviti adalah perkara biasa di kalangan individu autisme. Bukan saja keadaan klinik pergigian dipenuhi dengan bunyi bising, bau dan lampu yang terang, sensasi instrumen sejuk di dalam mulut boleh menyebabkan ketidakselesaan, bunyi gerudi boleh menyebabkan mereka tertekan atau rasa dan tekstur bahan pergigian mungkin mendatangkan rasa tidak senang kepada individu autisme. Ini boleh menyebabkan doktor sukar untuk berada dekat secara fizikal.

Kini, klinik-klinik pergigian terutamanya klinik pakar pergigian penjagaan khas memulakan inisiatif bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif sesuai dengan keperluan penjagaan pergigian khas untuk autisme dewasa. Bilik menunggu yang mesra sensori dilengkapi dengan instrumen atau alatan yang menenangkan seperti selimut tebal dan pengedap bunyi bagi membantu individu ini bersantai dengan tenang sebelum janji temu mereka.

Selain itu, doktor pakar pergigian penjagaan khas sering mengikuti pelbagai seminar untuk lebih memahami keperluan unik individu dengan autisme dan membangunkan teknik komunikasi yang berkesan.

Selanjutnya, memupuk budaya menerima dan memahami dalam komuniti pergigian dapat memastikan mereka yang terkesan oleh autisme merasa diterima dan dihormati semasa rawatan mereka. Doktor pergigian juga perlu sedar bahawa menerima kepelbagaian sahaja tidak mencukupi tetapi perlu mewujudkan persekitaran yang cukup selesa untuk menerima rawatan berkualiti tinggi tanpa mengira siapa mereka.-UTUSAN

DR. ZUBAIDAH ZANUL ABIDIN, PROFESOR MADYA DR. NOSIZANA MOHD SALLEH DAN DR. SITI FAUZZA AHMAD
Fakulti Pergigian, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN