Kelemahan umat Islam berpunca penyelewengan ajaran al-Quran

Kelemahan umat Islam berpunca penyelewengan ajaran al-Quran

BANYAK perkara-perkara yang berlaku ketika ini akibat sikap umat Islam yang tidak lagi mengikuti sepenuhnya ajaran Islam dan sunnah Rasulullah SAW.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONSEP islah dari sudut istilah bererti satu usaha untuk memperbaiki keadaan umat Islam yang rosak dan menyeleweng daripada ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dengan membawa umat Islam kembali kepada generasi awal Islam dahulu ketika di bawah pimpinan Nabi Muhammad.

Salah satu tokoh Islah yang berpengaruh ialah Muhammad Rashid Rida yang mana pendapatnya mempengaruhi pemikir Islam kurun ke-20.

Muhammad Rashid menggambarkan faktor-faktor kelemahan umat Islam dengan begitu telus dan teliti dalam majalah al-Manar. Kelemahan yang menyelubungi umat Islam ketika itu meliputi semua aspek iaitu ekonomi, politik, agama dan sosial. Masyarakat Islam pada zaman tersebut juga agak jauh ketinggalan dalam aspek kekayaan, kesenangan hidup, kemurahan rezeki, kekuasaan, kepimpinan dan sebagainya jika dibandingkan dengan masyarakat lain.

Antara faktor yang menyebabkan kemunduran tersebut berlaku ialah keruntuhan akhlak dalam kalangan umat Islam. Beliau menggambarkan keadaan akhlak masyarakat Islam seperti rosak akidah dan akhlak, meninggalkan ibadah-ibadah serta mengharuskan segala perkara yang diharamkan.

Terdapat juga manusia yang menjadikan manusia terpesona dengan segala kejahatan dan perkara keji dengan nama tajdid (pembaharuan) dan ketamadunan.

Muhammad Rashid menyifatkan akhlak buruk tersebut sebagai penyakit sosial yang menular dalam diri umat Islam tanpa disedari. Dalam situasi beginilah peranan seorang muslih amat diperlukan untuk menjelaskan kepada umat Islam tentang penyakit-penyakit tersebut yang boleh menjejaskan kemajuan umat Islam.

Beliau juga melihat golongan agamawan perlu bertanggungjawab menjelaskan kepada masyarakat tentang kepentingan akhlak bagi memelihara kesejahteraan masyarakat. Selain itu, beliau juga berpendapat bahawa kezaliman yang wujud dalam masyarakat Islam merupakan salah satu punca kemunduran umat Islam.

Faktor lain yang menyebabkan kemunduran umat Islam ialah pengabaian ulama terhadap usaha membimbing dan mendidik masyarakat. Hal ini disebabkan kefahaman ilmu yang sempit serta tidak menguasai ilmu moden yang merupakan asas kekuatan negara-negara maju yang lain.

Kesimpulannya, faktor-faktor kemunduran umat Islam yang dinyatakan Muhammad Rashid harus dititikberatkan oleh umat Islam seluruh dunia agar agama Islam tidak dipandang rendah oleh agama lain.

Para ulama juga perlu memainkan peranan yang amat penting dalam menjelaskan kepentingan akhlak yang baik untuk menjamin kemajuan dan kesejahteraan umat Islam dalam menempuh dunia moden kini.-UTUSAN

NURIFFAH JAMILANI
Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN