SAUDARA PENGARANG,
PERSATUAN Mahasiswa Negeri Sembilan (PERMANIS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyantuni penduduk kampung Pachitan melalui Program Jaulah Mahasiswa USIM chapter Negeri Sembilan, Pachitan pada 24 hingga 26 Mei 2024 baru-baru ini.
Ia disertai oleh 42 orang pelajar yang terdiri daripada pelbagai fakulti dan kelab sebagai ahli jawatankuasa bagi menjayakan jaulah kali ini.
Pelbagai aktiviti dan pengisian menarik telah dijalankan, antaranya sesi senamrobik bersama warga kampung, program pemasaran digital, kursus penyembelihan dan sukan rakyat.
Program ini adalah untuk membina ikatan sosial yang mahabbah antara mahasiswa dan masyarakat setempat. Ini kerana ia secara tidak langsung dapat memberi impak positif di samping membentuk hubungan yang bermakna dengan penduduk kampung serta membantu mereka mengimarahkan lagi kawasan kampung.
Ini juga dapat memupuk nilai positif dalam kalangan mahasiswa agar sentiasa berbuat kebaikan kepada masyarakat sekeliling di samping memberi peluang kepada pelajar untuk mengamalkan nilai-nilai kebaikan seperti empati, kongsi rezeki dan tanggungjawab sosial.
Ia termasuklah membina sifat kekeluargaan, toleransi dan kasih sayang sama ada dalam berpersatuan mahupun dalam kalangan komuniti.
Malah, program ini turut dihadiri dan dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dengan harapan supaya program sebegini diteruskan lagi untuk skop yang lebih luas. Beliau sendiri berharap USIM komited dalam meningkatkan teknologi fasiliti bergerak supaya memudahkan urusan masyarakat, terutamanya penduduk kampung.-UTUSAN
AIMAN FARIS JASMIN
Presiden Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan USIM










