SAUDARA PENGARANG,
SAYA merujuk kenyataan Erma Fatima yang baru dikeluarkan dengan memohon Sarah Yasmine untuk berhenti mengeluarkan kenyataan dan juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi. Beliau juga mempersoalkan peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam hal ini.
Pertama sekali, SKMM tiada kuasa untuk menghalang mana-mana individu memuatnaik sesuatu dalam media sosial peribadi seseorang, melainkan fitnah. Kedua, mereka harus jelas adakah cerita yang dikongsi Sarah Yasmine berbentuk fitnah atau realiti sebenar? Jika fitnah, mereka boleh membuat saman sivil jika tidak, tiada apa-apa boleh dilakukan.
Saya faham segelintir artis yang tidak senang dengan pendedahan Sarah Yasmine mungkin muak dengan cerita murahan sebegini namun itu boleh dihentikan sekiranya orang dalam industri sendiri berhenti mengambil pelakon bermasalah supaya tiada ‘Sarah Yasmine’ yang melondehkan individu bermasalah dalam dunia seni hiburan.
Isu Aliff Aziz bukan pertama kali dalam sejarah industri negara dan kemunculan Sarah sedikit sebanyak membantu isteri yang sedang dibuli-buli secara emosi dan psikologi.
Malah, pendedahan yang dilakukan Sarah Yasmine juga tidak menyalahi undang-undang negara melainkan telefon digodam secara tidak sah tanpa kebenaran pemilik telefon sebenar. Jika artis terlibat ingin membuat laporan polis, mereka juga harus sedar tindakan ini hanya memakan diri kerana terdapat akta dalam undang-undang orang ketiga dalam rumah tangga seseorang yang boleh dikenakan tindakan.
Dalam hal ini sebenarnya Bella Astillah boleh membuat laporan mengikut Seksyen 36, 37 dan 38, Akta 559 atau Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.
Manakala artis yang terlibat dalam kontroversi seperti Ruhainies dan Sophia Al Barakbah berkemungkinan besar akan dikenakan tindakan kerana perbualan online juga dikira bukti dalam Mahkamah Syariah.
Saya fikir peranan Persatuan Seniman Negara sekarang adalah menyenarai hitam artis-artis bermasalah supaya menjadi pengajaran kepada artis lain supaya tidak menjadi contoh yang tidak baik kepada masyarakat.
Jika ini pun gagal difikirkan saya fikir kita ada masalah dalam menentukan apa yang haq dan batil. – UTUSAN
YUSLAINI AZMI
Aktivis










