Dakwaan terhadap UiTM tidak berasas

Dakwaan terhadap UiTM tidak berasas

USAH mengeluarkan apa-apa kenyataan bersifat perkauman yang boleh mengucar-ngacirkan polisi serta objektif asal penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

APABILA terdapat segelintir pihak yang sengaja membangkitkan isu kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan melabel institusi pengajian tinggi itu sebagai ‘akademi aparteid’, seluruh ahli Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) berasa terpanggil untuk melahirkan pandangan serta teguran mendidik terhadap kenyataan yang tidak berasas ini.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menggariskan kedudukan serta hak bumiputera di Malaysia. Dakwaan ini turut mencerminkan kedangkalan serta sifat berat sebelah penulis yang hanya merujuk istilah bumiputera kepada kaum Melayu semata-mata; sedangkan kaum bumiputera di negara ini meliputi seluruh masyarakat pribumi Malaysia, termasuklah orang Melayu dan semua anak negeri dari mana-mana antara Sabah dan Sarawak (Perlembagaan Persekutuan, Perkara 153: 163).

Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor Universiti Awam turut menyokong kenyataan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi yang menyeru semua pihak agar tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan bersifat perkauman yang boleh mengucar-ngacirkan polisi serta objektif asal penubuhan UiTM. Sebaliknya, kita harus bersatu hati dan berpadu tenaga dalam usaha mengekalkan kelestarian dan kesejahteraan negara tercinta.

Justeru, Jawatankuasa JKNCR UA yang terdiri daripada 20 Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam Malaysia menyokong pendirian UiTM untuk kekal berpegang kepada Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Kami juga ingin menyeru para penulis di luar sana agar lebih beradab dan berhemah dalam menyampaikan berita, demi keamanan bersama. Kita boleh menerima teguran serta pandangan yang membina, tetapi biarlah berdasarkan fakta.

Kebebasan bersuara tidak seharusnya disalah guna sehingga mengabaikan adab dan adat selama ini kita pertahankan. Ilmu yang dikongsi seharusnya membawa manfaat dan bukan mengganggu-gugat keharmonian masyarakat dan negara.-UTUSAN

PROFESOR DR. MOHD. EKHWAN TORIMAN
Pengerusi Jawatankuasa
Naib Canselor/Rektor Universiti Awam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN