GURU kerjanya sangat mudah. Datang pagi, tengah hari sudah melenggang pulang ke rumah. Kerjanya pula separuh hari. Cutinya setiap hujung minggu. Cutinya pun panjang. Guru wanita pun dapat cuti bersalin yang panjang. Itulah tugasan guru pada anggapan sesetengah masyarakat di luar sana.
Sebenarnya kerjaya seorang guru lebih dari yang disangkakan. Tambahan pula dengan hambatan budaya teknologi maklumat yang begitu pantas sekali.
Kerjaya seorang guru bukannya senang. Memang benar, semua orang boleh mengajar. Contohnya, guru sandaran tidak terlatih. Hari ini dilantik, esoknya terus mengajar di kelas tanpa mendapat latihan. Hanya penerangan ringkas oleh guru besar sewaktu dia melapor diri di sekolah. Selepas itu, pandai-pandailah bawa diri.
Kerjaya mengajar ada seninya. Namanya seni mengajar. Guru yang ada seni mengajar akan mampu memahamkan anak muridnya dengan mudah apa-apa sahaja yang diajarinya. Inilah yang tidak dapat dilakukan oleh kebanyakan orang di luar lingkungan sekolah.
Selalu kita dengar ungkapan, guru umpama lilin yang sanggup membakar diri bagi menerangi kegelapan orang lain. Guru umpama obor atau lampu kalimantang yang menerangi alam kegelapan. Tanpa guru, tidak mungkin lahirnya seorang doktor, peguam, jurutera, polis ataupun seorang Perdana Menteri. Hayatilah sajak yang ditinggalkan oleh Sasterawan Usman Awang.
Untuk menjadi guru yang baik, hubungan dan interaksinya bukan sekadar di bilik darjah. Lebih daripada itu, guru perlu berinteraksi dengan ibu bapa, pemimpin setempat dan anggota masyarakat.
Di samping itu, guru mesti sanggup menghambakan diri untuk menggalas sebarang tanggungjawab yang diamanahkan oleh pentadbir. Tiada ungkapan ‘tidak boleh’ atau ‘tidak sanggup’ dipaculkan dari mulut seorang guru, lebih-lebih lagi dari mulut seorang guru muda yang baharu setahun jagung dalam dunia pendidikan.
Selamat Hari Guru buat semua yang bergelar guru!-UTUSAN
MANOLITO
Pahang










