PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap pemimpin di negara ini untuk menjaga sebuah kampung sebagai strategi holistik membangunkan kawasan luar bandar.
Saranan itu menunjukkan keseriusan Anwar mengatasi masalah rakyat di kawasan luar bandar dengan menzahirkan pemimpin yang bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan penduduk kampung.
Dicadangkan kepada kerajaan agar dipanjangkan arahan ini kepada ketua-ketua jabatan kerajaan Persekutuan, negeri dan bekas penghulu untuk membantu memajukan kampung serta sektor ekonomi masyarakat luar bandar.
Kampung Cherok Tok Kun di Pulau Pinang dipilih diselia dan disusuli setiap ahli jemaah menteri. Melalui usaha ini masyarakat kampung diberitahu masalah yang berlaku.
Dengan memberi tumpuan menjaga kampung, pimpinan kerajaan dapat lebih memahami masalah asas melibatkan isu sosioekonomi.
Masalah yang berlaku di kampung seperti pengangguran, penagihan dadah atau miskin tegar akan dibincang sekali gus mencari jalan untuk mengatasinya berdasarkan maklumat yang lebih tepat dan semua ini akan dibincang terus bersama orang kampung.
Warga kampung boleh dibimbing untuk memacu pertumbuhan kawasan kampung daripada pelbagai dimensi.
Satu atau lebih kampung boleh digabungkan dan meletakan prasyarat bahawa setiap kampung mempunyai indeks petunjuk prestasi (KPI) seperti adanya institusi agama, kedai runcit, kedai baiki kenderaan, kedai elektrik, kedai gunting dan kimpalan bagi menjana ekonomi dan mengekalkan masyarakat setempat daripada berhijrah ke bandar mencari peluang kerja.
Mengukuh institusi pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat melatih warga desa menguasai kemahiran industri selain kemahiran hidup yang lain.
Kampung juga perlu mempunyai pengurusan masjid yang kompeten untuk memperkasakan peranan institusi masjid. Peranan mereka bukan sekadar menjaga masjid dan tanah perkuburan semata-mata, reformasi ekonomi serta peluang pekerjaan perlu diperkukuhkan agar kampung menjadi tempat yang selamat selain menguntungkan untuk didiami.
Lebih ramai cerdik pandai perlu dibawa ke kampung sebagai pemudah cara bagi menyelesaikan kemelut semasa yang melanda masyarakat luar bandar tanpa mengira fahaman politik.-UTUSAN
YOSRI ABU MAHSIN
Kampung Jeram, Perak










