SAUDARA PENGARANG,
DATUK Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan kenaikan gaji kepada kakitangan awam lebih 13 peratus, berkuatkuasa pada Disember tahun ini. Penjelasan Perdana Menteri itu benar-benar melegakan penjawat awam bagi mengatasi bebanan kenaikan kos dan perkhidmatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut Perdana Menteri, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bersifat lebih munasabah dan kenaikan tersebut tertinggi dalam sejarah, selepas 12 tahun tiada penambahbaikan dilaksanakan untuk penjawat awam dengan melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM10 billion.
Kini tiada tempat kepada golongan yang culas dalam sektor awam. Tidak adil untuk memberi kenaikan gaji kepada kakitangan awam yang kurang berprestasi serta mempunyai pelbagai masalah disiplin.
Kenaikan ini akan dapat mendekatkan jurang pendapatan antara pengurusan tertinggi dan terendah serta menseimbang jurang pendapatan dalam negara.
Pihak swasta juga diminta melaksanakan langkah yang sama, tidak bermakna sesebuah syarikat menjana keuntungan besar sedangkan nasib pekerja pada takuk yang sama.
Dalam pada itu, kenaikan gaji dapat merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dan membendung kadar inflasi negara.
Penjawat awam juga diingatkan supaya berjimat cermat dalam perbelanjaan, membuat simpanan kewangan serta rancangan kewangan kendiri untuk masa hadapan, kurangkan hutang yang tidak mustahak seperti pembelian kenderaan baharu, perabot atau rumah serta aksesori diri dan perkara-perkara yang tidak mendesak.
Komitmen Perdana Menteri terhadap beban yang dihadapi oleh penjawat awam di negara ini sangat tinggi. Termasuk untuk mendapat kelulusan Majlis Parlimen sebulat suara dalam perbahasan Belanjawan negara 2025 nanti.
Kini adalah masa untuk kerajaan bekerja bagi memudahkan rakyat mendapatkan pertolongan serta apa jua bantuan melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.-UTUSAN
YOSRI ABU MAHSIN
Ipoh, Perak










